Lisa Surihani kawal kuantiti gambar anak


LISA SURIHANI kini mahu beralih tumpuan kepada bidang pengacaraan berbanding lakonan.

TANGGAL 15 September lalu menyaksikan sambutan hari lahir pertama puteri kesayangan pasangan pelakon popular, Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim iaitu Yahaira Leanne.

Mengadakan sebuah majlis bagi meraikan hari lahir si comel itu dua hari selepas tarikh tersebut, Lisa dilihat semakin terbuka berkongsi gambar anaknya di laman sosial.

Ditemui semasa majlis Celebrity Cookoff di restoran Eat With Mune, Publika baru-baru ini, ibu muda yang sentiasa jelita itu ditanya mengenai perkembangan terkini puteri sulungnya.

KOSMO!: Ketika sambutan hari lahir pertama Yahaira Leanne pada 17 September lalu, ramai tetamu berkongsi gambar dengan Yahaira di Instagram. Adakah selepas Yahaira berumur setahun, anda memang akan berkongsi lebih banyak gambarnya di laman sosial?

LISA SURIHANI: Seperti yang saya katakan sebelum ini, adalah mustahil jika saya langsung tidak berkongsi gambar Yahaira di laman sosial. Saya tetap akan berkongsi tetapi ia tidaklah terlalu banyak dan bergantung pada situasi.

Kami cuba mengawal kuantiti gambar yang akan dikongsi dengan peminat. Pelik juga jika sambutan hari lahir Yahaira tetapi dia tiada dalam gambar, begitu juga dengan gambar keluarga ketika hari raya, sudah tentulah dia perlu ada dalam gambar tersebut. Berkenaan gambar yang dikongsi oleh tetamu dan peminat, saya dan Yusry juga sudah bersedia tentangnya.

Bagaimana jika ada peminat yang bertemu secara tidak sengaja dengan anda bersama keluarga dan kemudian meminta untuk bergambar?

Setakat ini, apabila kami keluar, memang ada peminat yang mahu bergambar. Saya dan Yusry bersetuju untuk bergambar tetapi tidak melibatkan Yahaira. Alhamdulillah semua peminat memahami. Mereka nampak teruja apabila dapat bermain dengan anak kami selama beberapa minit walaupun tidak boleh bergambar sama.

Boleh kongsikan pengalaman anda selepas setahun menikmati status sebagai ibu?

Saya sangat bersyukur. Sebenarnya ada hikmah apabila saya mempunyai masa yang banyak di rumah kerana dapat bersama dengan anak dan melihat perkembangannya. Saya juga boleh mengikuti banyak perkara baharu yang dipelajari Yahaira. Kadangkala perkara itu kecil sahaja tetapi sebagai ibu, ia sudah cukup buat saya berasa terharu dan menghargai setiap detik tersebut.

Bagaimana pula dengan cara anda mendidik Yahaira?

Didikan bukan hanya daripada apa yang kita berikan kepada anak tetapi bagaimana dia melihat perlakuan harian kita seharian. Dari segi pemakanan, saya dan suami tidak pernah mengawal dan sentiasa membiasakan anak terhadap tiga waktu utama iaitu sarapan, makan tengah hari dan malam.

Kami akan memberikan makanan yang bersesuaian dengan umurnya. Ketika di meja makan pula, kami tidak akan menggunakan telefon bimbit kerana ingin mengajarnya kepentingan waktu berharga bersama keluarga.

Seperti kebanyakan ibu bapa, ramai yang memberikan gajet sebagai salah satu permainan anak, bagaimana pula dengan Lisa?

Yahaira suka menonton video Mother Goose Club, jadi saya juga akan mendedahkannya kepada lagu-lagu sebegitu tetapi menerusi televisyen.

Jika di rumah, saya rasa tidak perlu memberikannya tablet. Bagaimanapun, jika kami keluar dan memerlukan perjalanan jauh, kami akan membawa tablet yang mengandungi video lagu kesukaannya.

Anak saya sangat menggemari muzik seperti ayahnya. Ketika hari lahirnya, Yahaira mendapat banyak hadiah berupa peralatan muzik yang kecil dan dia sangat teruja.

Beralih kepada kerjaya, adakah anda mempunyai sebarang perancangan untuk kembali aktif?

Sudah tentu ada tetapi buat masa ini saya belum kembali ke mana-mana set penggambaran. Sebenarnya, bukan saya tidak mahu berlakon tetapi secara kebetulan tawaran yang datang tidak bersesuaian dengan waktu, jadi ia terpaksa ditolak.

Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan Astro dan kami sedang merancang untuk membuat beberapa program yang bersesuaian kerana saya lebih berminat terhadap pengacaraan.

Insya-Allah dalam masa terdekat ini karier seni saya akan kembali aktif.

Mengapa memilih dunia pengacaraan, adakah kerana lakonan memerlukan lebih banyak masa di luar rumah?

Tidak juga, itu semua bergantung pada pengurusan masa. Saya tidak akan mengambil dua kerja dalam satu masa. Jika terikat dengan komitmen pengacaraan, saya akan menyelesaikannya sehingga habis kerana pengurusan waktu yang baik penting agar saya mempunyai waktu untuk bersama dengan anak. Pengacaraan dipilih kerana saya ingin menajamkan kemahiran mengacara. Bagaimanapun, saya masih meminati dunia lakonan.

Bila kali terakhir anda tampil dalam drama atau telefilem?

Kali terakhir saya berlakon adalah untuk projek Karya 12 iaitu telefilem Syahadah Yang Hilang pada awal tahun ini. Ketika itu Yahaira baru berumur tujuh bulan.

Post a Comment

Previous Post Next Post