FITRAH - Sering mendapat pujian masyarakat kerana berjaya mendidik kedua-dua anak autismenya, Zarina menyifatkan ia bukan perkara luar biasa kerana ilmu dunia dan agama merupakan didikan asas dalam kehidupan.
PERWATAKANNYA lemah lembut, namun sesekali terlihat fitrah abadi seorang ibu tatkala dia mula berleter melihat kelakuan kembar sulungnya sepanjang sesi fotografi berlangsung. Namun, situasi itu menyerlahkan sisi penyayang seorang ibu yang ada pada diri aktres popular, Zarina Zainuddin.
Pada mata Zarina, memiliki sepasang anak kembar istimewa yang menghidap autisme (sejenis penyakit gangguan dalam komunikasi, interaksi sosial dan perilaku emosi), bukan satu hukuman Tuhan. Namun, ia adalah hadiah terindah yang diberikan Allah untuk dia lebih mengenal Pencipta melalui ujian dan cabaran.
“Sekali pun dalam hati, tidak pernah terdetik perasaan terbeban atau menganggap anak-anak syurga ini sebagai masalah. Mereka adalah permata hati yang menjadikan hari-hari saya lebih indah,” ujarnya meluncur perasaan harmoni ketika membuka perbualan.
Meluncur patah bicara sekadar berbasa-basi pada awalnya, namun lama-kelamaan perbualan menjadi semakin sarat dengan emosi. Apatah lagi apabila ia membabitkan cerita Muhammad Razil Azrai (Azil) dan Muhammad Raizal Azrai (Azal) yang kini berusia 20 tahun.
Azil dan Azal mempunyai karakter yang berbeza. Azil lebih agresif, kerap mencederakan diri sendiri dan masih bergantung dengan ubat yang dibekalkan doktor.
Azal pula lebih berdikari, bijak mengawal situasi terutama membantu abangnya, selain gemar bersolat.
Pelakon itu mengaku, dia tidak suka menjadikan keistimewaan dua anak bujangnya untuk menjadi pelaris atau menagih publisiti.
Bagaimanapun, apa yang mahu dikongsi cerita kepada masyarakat adalah satu pembahagian ilmu mendepani kehidupan dengan sebaiknya.Kata Zarina, baik ibu bapa atau anak-anak autisme ini, kedua-duanya perlu menerima layanan sama rata.
“Dengan berkongsi perkembangan anak-anak, sekurang-kurangnya saya boleh bertukar idea atau pandangan dengan ibu bapa di luar sana. Saya juga mahu masyarakat sedar bahawa membesarkan anak istimewa ini bukan satu beban,” ujarnya.
Pengorbanan
Masih segar dalam ingatannya, satu kejadian yang hampir membuatkan Azal dibelasah orang kampung sewaktu menemaninya menjalani penggambaran. Semuanya berlaku gara-gara tindakan Azal yang pergi ke bilik air di sebuah rumah penduduk di Paya Jaras untuk mengambil wuduk.
“Pada waktu itu, dia tiba-tiba hilang dan ketika sedang mencarinya, saya dimaklumkan yang Azal hampir dipukul kerana menceroboh rumah orang dan disangka pencuri.
“Walhal dia masuk ke dalam rumah tersebut untuk mengambil wuduk dan mendirikan solat. Saya tidak boleh salahkan tuan rumah apatah lagi memarahi anak, sebab ia bukan salah sesiapa. Apa yang saya boleh lakukan hanyalah memberi penjelasan kepada mereka supaya faham situasi anak saya, itu sahaja,” ujarnya sebak.
Bukan sekali dua kejadian seumpama itu terjadi di hadapan umum.
Aktres filem Sumpahan Berdarah itu mengulang tayang kotak memorinya dengan kejadian Azil atau lebih mesra dengan panggilan Abang yang ditahan pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah.
Gara-gara mengambil senaskhah surat khabar tanpa membayar, Abang ditahan di pejabat pengurusan pusat beli-belah tersebut kerana disangka ingin mencuri.
“Ada yang melontarkan kata-kata hinaan dengan menggelarkan saya tidak pandai menjaga anak atau anak kurang diajar.
“Tetapi, itu semua tidak penting kerana yang saya pertahankan adalah keselamatan anak-anak. Selalu saya beri peringatan kepada orang luar agar jangan sesekali menaikkan tangan kepada mereka.
“Saya boleh bayar apa sahaja yang diambil oleh anak-anak, tetapi jangan sesekali tergamak menyentuh mereka yang tidak tahu soal dosa pahala,” tutur pelakon kelahiran Negeri Sembilan itu menahan gelora dalam dada.
Ujar Zarina lagi, setiap kejadian yang berlaku punya hikmah besar dan perlu diterima dengan hati yang reda. Cukup dia menjadi ibu terbaik buat anak-anak, segala kejian orang luar ditepis ke tepi. Sedikit pun ia tidak akan membekaskan kudis dalam dirinya.
Anugerah
Mengenang saat gembira menunggu detik kelahiran permata hatinya itu, Zarina berkata, dia hanya menyedari sikap dan karakter kedua-dua anaknya yang tidak pandai bercakap selepas mereka berusia tiga tahun.
“Apa yang saya tahu pada waktu itu adalah kandungan saya kembar tetapi mereka dilahirkan tidak cukup bulan iaitu sebulan awal dari tarikh sebenar.
“Kelakuan mereka seperti kanak-kanak lain pada awalnya sehingga menginjak usia tiga tahun, barulah saya perasan mengapa mereka tidak pandai bercakap dan kelakuan sedikit lain berbanding manusia normal,” ujar ibu kepada dua lagi cahaya mata, Muhammad Naim Azrai, 14, dan Muhammad Adam Azrai, 10, itu.
Ditanya bagaimana dia boleh berlapang dada melewati kehidupan, tanpa berselindung dia memberitahu, gembira dengan kehidupannya dan anak-anak istimewa yang dikurniakan kepadanya. Besar harapan wanita itu, segala pengorbanan, keikhlasan dan kasih sayang yang ditumpahkan kepada mereka akan diperhitung Allah sebaik-baiknya.
Tiada yang lebih mahal daripada ‘kemenangan’ yang diperoleh kerana mampu melayari ujian Allah dengan tekun dan penuh sabar.
“Ujian sebenarnya pembakar semangat dan tanda Tuhan sayangkan kita,” tuturnya menguntum senyum manis.
Mengalih bicara tentang sambutan Aidiladha pada tahun ini, pelakon yang mula membina nama dalam industri sejak lebih dua dekad itu berkata, dia dan keluarga pulang ke kampung halaman suaminya di Kuala Krai, Kelantan.
“Semua orang tahu yang sambutan raya korban di negeri Pantai Timur lebih meriah berbanding raya puasa. Sebab itu saya suka pulang ke sana kerana suasananya berbeza dengan kampung keluarga di Perak.
“Malah, kepelbagaian juadah yang dimasak pada pagi hari raya menambah kemeriahan seperti kerutuk daging, sup tulang rusuk, nasi impit, nasi dagang dan nasi kerabu,” tutupnya.