MARSHA memberitahu suaminya, Shaiful melakukan ibadah korban bagi pihaknya yang diadakan di kediaman keluarga mertuanya di Pulau Pinang.
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti menyimpan hasrat untuk meraikan sambutan perayaan bersama pasangan terutama bagi tahun pertama pernikahan.
Sudah melalui pengalaman berpuasa sebulan dan menyambut Aidilfitri baru-baru ini, pelakon dan penyanyi, Marsha Milan Londoh, 31, yang juga saudara baharu bagaimanapun tidak berpeluang merasai suasana sambutan Aidiladha yang jatuh pada hari ini apabila terpaksa berjauhan dengan suami, Mohamed Shaiful Nizam, 30.
Mereka terpaksa berpisah selama beberapa hari ketika sambutan Aidiladha kerana kedua-duanya bakal beraya berasingan di kampung halaman masing-masing iaitu di Pulau Pinang dan Sabah.
KOSMO!: Mengapakah Marsha tidak beraya bersama suami untuk sambutan Aidiladha hari ini?
MARSHA: Sebenarnya, keluarga saya di Sabah mengadakan sebuah majlis jamuan makan pada hari sama jatuhnya sambutan Hari Raya Aidiladha. Selepas berbincang dengan suami, dia izinkan saya pulang ke kampung untuk menghadiri majlis tersebut sebelum terbang ke Pulau Pinang selepas selesai majlis.
Adakah anda berasa terkilan tidak dapat bersama suami pada pagi Aidiladha ini?
Saya berasa sedikit terkilan kerana ini Hari Raya Aidiladha pertama kami sebagai suami isteri dan saya sendiri sebagai saudara baharu. Namun manusia hanya mampu merancang, Insya-Allah kami masih mempunyai banyak masa untuk beraya bersama pada tahun-tahun hadapan.
Apakah yang anda faham secara ringkas tentang pengertian Hari Raya Aidiladha?
Sedikit yang saya faham tentang Hari Raya Aidiladha ialah umat Islam yang berkemampuan akan menjalankan ibadah korban dan daging-daging korban akan diagihkan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Alhamdulillah, tahun ini saya bertuah kerana suami akan menjalankan tanggungjawab itu bagi pihak saya dengan melakukan korban di Pulau Pinang walaupun kami tidak beraya bersama.
Bercakap tentang kerjaya, adakah anda masih di dalam tempoh memperlahankan kerjaya seni atau bagaimana?
Ya, kerana saya masih dalam mood pengantin baharu dan belum puas menghabiskan masa di rumah bersama suami. Tetapi jika ada tawaran yang bagus, saya masih akan mempertimbangkannya. Cuma sekarang saya lebih fokus dalam bidang nyanyian.
Mengapa memilih untuk memberi perhatian dalam seni suara berbanding lakonan?
Rasanya masih banyak yang belum diterokai sebagai penyanyi. Saya mahu mencari identiti tersendiri. Lagipun nyanyian tidak menuntut komitmen panjang, jadi saya masih ada masa untuk menguruskan rumah tangga.
Adakah anda sudah mempunyai perancangan untuk melancarkan single terbaharu?
Ya, sekarang saya dalam proses perbincangan untuk sebuah lagu ciptaan Omar K. Melodinya sudah siap, cuma sekarang kami sedang berbincang tentang lirik dan susunan lagu agar sesuai dengan pasaran sedia ada.
Maaf bertanya, benarkah suami keberatan untuk anda kembali aktif berlakon?
Dia beri keizinan dan tidak menghalang, cuma kalau boleh, jika saya bersetuju untuk berlakon dalam sesuatu karya biarlah ia berbaloi dengan masa yang terpaksa saya habiskan di set penggambaran. Sebab itu kini saya lebih selektif dalam menerima tawaran.