Dangdut Rosalina Musa kukuh di Indonesia


PENYANYI kelahiran Singapura ini menjadi terkenal di Indonesia selepas menjadi juri program realiti D’Academy Asia.

Pada usia 45 tahun, penyanyi dangdut kelahiran Republik Singapura, Rosalina Musa masih ampuh memperjuangkan muzik dangdut yang disifatkan sebagai picisan oleh segelintir pihak.

Dia tidak perlu berasa takut untuk muncul dengan album baharu berjudul Beri Tepukan Yang Gemuruh (BTYG).

Kurang mendapat perhatian di negara kelahirannya, Rosalina mendapat peluang yang luas sebagai penyanyi genre tersebut selepas penampilannya sebagai juri mewakili Singapura di program realiti popular Indonesia, D’ Academy Asia musim pertama.

“Sebenarnya, sudah lama saya memperjuangkan muzik dangdut di Singapura. Bagaimanapun, peluang sebagai juri di D’ Academy Asia telah membuka pintu rezeki saya dalam bidang nyanyian dan menyemarakkan semangat terus melaungkan muzik dangdut.

“Kalau di Indonesia, muzik dangdut umpama satu tradisi dalam kalangan masyarakat. Alhamdulillah, saya juga diberi pulang sebagai menjadi juri program tersebut untuk musim kedua hujung tahun ini,” ujarnya yang ditemui sewaktu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Kata Rosalina lagi, dia berbangga dapat mewakili negara kecil seperti Singapura ke Indonesia yang cukup terkenal dengan senario muzik. Bukan sahaja untuk membina nama sebagai penyanyi dangdut di sana, malah terus memperjuangkan irama tersebut yang semakin dilupakan generasi hari ini.

“Sejujurnya, sebelum diberi peluang menjadi juri di D’ Academy Asia, pengikut Instagram saya tidak banyak. Sekarang, ia telah bertambah kepada 800,000 pengikut. Saya juga terkejut dan sangat bersyukur dengan sambutan positif masyarakat Indonesia terhadap muzik yang cuba saya ketengahkan,” ulasnya.

Tidak malu

Diusul pertanyaan tentang kerjaya sebagai penyanyi dangdut, dia mengatakan bukan populariti yang menjadi pertaruhan, sebaliknya, sangat memandang tinggi terhadap muzik dangdut dan mahu ia terus diraikan dalam kalangan pendengar.

“Tidak kisah jika orang mahu kata saya sudah tua dan tidak sedar diri kerana menyanyikan lagu berentak dangdut. Itu pendapat masing-masing dan saya tidak boleh puaskan hati semua orang.

“Apa yang penting, saya jujur dengan apa yang dilakukan dalam hidup. Saya membesar dengan muzik dangdut. Oleh itu, saya tidak akan pernah berasa malu apabila orang berkata tentangnya,” tuturnya.

Mengulas lanjut, Rosalina yang pernah hadir dengan tiga buah album terdahulu iaitu Yok Dangdut, Rosalina Sayang dan Rosalina Hanya Untukmu berasa begitu dekat dengan masyarakat Indonesia kerana republik itu bukan asing buat dirinya.

“Ayah kandung dan suami saya berasal dari Pulau Bawean. Bagaimanapun, saya belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Saya berharap suatu hari nanti bertemu dengan masyarakat di sana,” katanya.

Diajak bercerita mengenai album terbaharunya, Rosalina berkata, kos pembikinan album tersebut ditanggung sendiri olehnya atas rasa cinta terhadap muzik dangdut.

“Walaupun kurang mendapat sambutan di Singapura kerana industri di sana agak kecil, saya yakin album ini boleh diterima di Malaysia dan Indonesia,” ujarnya.

Tambahnya lagi, walaupun muzik dangdut dipandang sepi sejak kebelakangan ini terutama di Malaysia, dia tetap akan memperjuangkan genre tersebut selagi mampu.

Post a Comment

Previous Post Next Post