Didi Astillah, Saya Masih Muda Untuk Berputus Asa


Didi Astillah masih aktif menyanyi walaupun namanya dilihat semakin malap sejak akhir-akhir ini.

Penyanyi Didi Astillah tidak pernah merancang untuk meninggalkan bidang nyanyian selepas namanya dilihat tenggelam sejak akhir-akhir ini.

Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 20, berkata, dia masih terlalu muda untuk berputus asa kerana masih banyak perkara yang ingin dicapainya dalam bidang seni.

"Saya meminati bidang nyanyian sejak kecil lagi dan tidak mungkin saya akan menyerah kalah begitu sahaja walaupun nama saya dilihat tenggelam sejak akhir-akhir ini.

"Sekiranya usia saya sudah 30 tahun sekarang mungkin saya berfikir untuk berputus asa tetapi saya masih muda.

"Masih banyak perkara yang saya ingin capai dalam bidang seni dan menyerah kalah bukan salah satu daripadanya," katanya kepada mStar Online.

Didi muncul dengan single duet terbaharu bersama penyanyi Nawkhi berjudul Percaya.

Dalam pada itu, Didi berkata, faktor utama dia jarang dilihat sebelum ini kerana ketiadaan lagu baharu dan berharap Percaya dapat menaikkan kembali namanya.


Didi tampil dengan lagu duet bersama Nawkhi berjudul Percaya.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana rezeki untuk mengadakan persembahan masih ada namun kebanyakannya majlis-majlis korporat dan tertutup.

"Saya pun tiada lagu baharu dan sebab itu karier saya dilihat perlahan tetapi undangan persembahan masih ada cuma bukan program ditayangkan di televisyen," katanya.

Dalam perkembangan lain, Didi berkata, dia berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti pada penghujung tahun ini.

Kata Didi, dia ingin mengambil kursus berkaitan dalam bidang muzik kerana itu adalah minatnya.

"Setakat ini belum tahu lagi universiti atau kolej mana yang saya ingin masuk tetapi bidang muzik adalah pilihan saya.

"Jika ada peluang saya ingin sambung pelajaran di Kota Kinabalu kerana sukakan Sabah selain ramai saudara-mara saya di sana," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post