ANTAGONIS - Akui jejaka berkulit sawo matang ini, sejak mula memasuki industri lagi dia memang meletakkan sasaran untuk memegang watak jahat dan membawa karakter itu diiktiraf setanding dengan watak pelakon utama.
KEMBARA kanvas seninya masih hijau dan belum dicemari noda-noda hitam. Seraut wajah lelaki tempatan asli yang bengis dan berbadan tegap serta berkulit sawo matang menjadi pakej luaran buat pelakon Pablo Amirul untuk dikenali dengan mudah.
Ironi, pemilik nama Amirul Hisyam Mohd. Sakri itu sudah mula menempa nama dalam industri hiburan sejak 2012 menerusi filem aksi Anak Jantan di samping aktor Farid Kamil dan Bront Palarae.
Hanya selepas kemunculannya sebagai Jimbo dalam filem Polis Evo, barulah banyak mata pemerhati industri terbuka tentang kehadirannya.
Watak antagonis yang dipegang benar-benar menjadi. Apa yang pasti, wajah bengis yang dimiliki memberi satu bonus untuk Pablo mudah membawa karakter itu dengan bagus.
“Sebenarnya saya bukan begitu. Di luar filem, saya seorang yang aktif dan tidak boleh diam. Kalau orang tengok wajah saya dalam filem selalu bengis, ironinya saya seorang yang sangat suka ketawa. Sampai satu tahap, sehingga keluar air mata.
“Apa yang orang lihat di dalam filem jauh berbeza dengan diri sebenar saya tetapi saya bersyukur, setidak-tidaknya dengan watak sebegitu, orang kenal siapa saya dan sedar mutu lakonan yang saya bawa,” ujarnya yang gemar menghabiskan masa di rumah dengan melakukan aktiviti berkebun.
Kukuh
Di sebalik penerimaan baik peminat, timbul kegusaran dalam diri Pablo kerana dia berfirasat bahawa watak antagonis mudah mendedahkan dirinya dengan perasaan kurang senang dan benci daripada masyarakat luar.
“Ia suatu perkara normal jika dibenci dan saya tidak boleh lari. Pernah juga ada orang menegur saya sebagai seorang gengster. Mula-mula agak risau juga tetapi apa yang boleh saya lakukan hanyalah terima dengan hati terbuka.
“Perlahan-lahan saya sedar dan menilai dari sudut pandang positif bahawa pengalaman sebegitu sebenarnya adalah suatu rahmat kerana orang mengenali siapa itu Pablo Amirul,” katanya.
Pablo juga teguh berpegang kepada pesanan mentor-mentornya dalam industri seperti Farid Kamil, Bront Palarae, Shaheizy Sam dan Fezrul Khan agar mendahulukan prestasi berbanding mengejar populariti dan wang ringgit.
“Saya bersyukur, dalam kalangan pelakon baharu yang ada, pelakon hebat seperti mereka sudi memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada saya untuk terus tunduk membumi mencari hala tuju yang sebenar dalam industri.
“Bukan berpaksi kepada glamor dan wang ringgit tetapi setiap teguran yang diberi menjadi ‘tangkal’ untuk berdiri atas bumi yang nyata,” katanya yang pernah menetap di Brazil selama dua tahun.
Versatil
Sepanjang empat tahun berkelana mencari matlamat hidup, amat jarang Pablo diberikan watak lain selain daripada karakter antagonis.
Terbaharu, dia akhirnya diberi peranan memegang watak komedi romantik dalam filem berjudul Kampung Drift.
Ujar lelaki kelahiran Kelantan itu lagi, ia pengalaman baharu untuk meneroka kemampuan bakat, berkarya lebih dalam dan mengenal keupayaan membawa watak yang pelbagai.
“Kebanyakan mentor saya bersetuju bahawa saya sebenarnya memiliki kekuatan dalam genre komedi romantik, bukannya aksi. Itu pandangan selepas mereka melihat lakonan saya dalam filem Kampung Drift baru-baru ini.
“Saya akui perkara itu ada kebenaran memandangkan saya memang jenis yang gemar bergurau. Jadi, sedikit sebanyak percubaan itu akan membantu saya membina kekuatan lakonan,” ujarnya mesra.
Ditebak dengan persoalan adakah hanya mahu dikenali dengan watak jahat semata-mata, Pablo menegaskan: “Untuk menjadi pelakon yang versatil, saya tidak boleh tertumpu kepada satu-satu watak sahaja. Perlu untuk saya menguasai lebih banyak watak. Saya tidak kisah andai diberi watak komedi atau lelaki penyayang walaupun tidak kena dengan raut wajah yang garang (ketawa) tetapi biarlah ia berlaku secara perlahan-lahan.
Sasaran
“Buat masa sekarang, saya mahu fokus kepada genre aksi terlebih dahulu sebab orang mula mengenali saya menerusi karakter jahat. Mungkin dalam masa setahun dua lagi, barulah saya boleh bertukar angin dengan mencuba pelbagai dimensi lakonan.”
Boleh dikatakan, Pablo antara pelakon aksi pelapis dalam industri yang semakin ketandusan dengan bakat baharu yang berkebolehan sepertinya. Jika diasah dengan hala tuju yang betul, tidak mustahil namanya akan berdiri sebagai seorang pelakon aksi yang disegani suatu masa nanti.
“Itu satu pujian yang saya anggap sebagai pembakar semangat untuk meneruskan perjalanan dalam industri. Untuk menyamai aktor hebat seperti Rosyam Nor, ia perkara mustahil tetapi untuk menjadi sepertinya, semua orang boleh melakukan, asalkan berpegang kepada kecintaan yang mendalam terhadap dunia seni.
“Dalam tempoh lima tahun pertama menjadi pelakon, apa yang saya sasarkan adalah untuk bergelar pelakon yang serba boleh. Alhamdullillah, walaupun masih berbaki setahun untuk mencapai sasaran itu, penerimaan daripada peminat yang menyedari kehadiran saya sudah cukup memberi semangat untuk menjadi pelakon yang lebih baik,” ujar lelaki berusia 31 tahun itu yang gemar melakukan aktiviti memanjat gunung pada waktu santai.
Bercakap mengenai perkembangan terkininya, Pablo sedang menjalani penggambaran filem terbaharu, KL Vampires di samping Raja Ilya, Josiah Hogan, Aeril Zafrel dan Reen Rahim di sekitar ibu kota dan Jogjakarta, Indonesia.
“Filem ini sangat mengujakan kerana ia berkisar tentang pontianak dan naskhah sebegini agak jarang dihasilkan. Gabungan antara dua buah negara Indonesia dan Malaysia juga diharapkan mampu membawa lembaran positif buat saya dan industri filem kita,” tutupnya.