Elyana rasa bersalah terhadap peminat


Elyana bakal membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian menerusi sebuah album baharu yang kini dalam proses rakaman.

AGAK lama khabar tentang penyanyi yang selesa dengan imej berkaki ayam ketika membuat persembahan di pentas, Elyana tidak kedengaran.

Popular dengan lagu Tak Tercapai Akalmu, Diriku Tapak Sulaiman dan Niat, sedar atau tidak, sebenarnya hampir tujuh tahun Elyana atau nama lengkapnya, Emeelya Elyana Emrizal, 28, tidak muncul dengan lagu baharu.

Baru-baru ini, Elyana menarik perhatian ramai apabila menyertai pertandingan realiti radio Super Karoks Kool FM.

Bergandingan bersama penyanyi Intan Sarafina yang juga sudah lama menyepi, gandingan duo wanita jelita itu membuahkan hasil apabila mereka terpilih sebagai juara pertandingan tersebut.

Ditemui pada majlis kemuncak Lawak Vaganza Hot FM dan Super Karoks Kool FM, Elyana rancak berkongsi kerinduan terhadap kerjaya nyanyian.

KOSMO!: Boleh kongsikan perancangan Elyana selepas berjaya menjadi juara Super Karoks Kool FM?

Elyana: Kami belum mempunyai sebarang perancangan bersama kerana kami baru sahaja diumumkan sebagai pemenang.

Bagaimanapun, untuk saya yang sudah tujuh tahun saya tidak keluar dengan sebarang lagu baharu mahupun sebuah album ini, ada berita gembira. Buat masa ini, saya sedang sibuk merakamkan sebuah album baharu.

Boleh ceritakan dengan lebih lanjut mengenai album tersebut?

Album baharu saya itu nanti mempunyai 10 buah lagu. Semuanya terdiri daripada lagu baharu. Seperti biasa, saya masih selesa menggunakan khidmat Aidid Alfian selaku komposer dan ia akan diedarkan oleh syarikat rakaman FMC.

Bagaimanakah konsepnya dan apakah keistimewaan album tersebut?

Album baharu tersebut sememangnya sangat berlainan dengan muzik saya yang dahulu. Peminat dapat melihat perubahan dari segi kematangan penulisan lirik, imej dan konsep yang sesuai dengan kehendak industri semasa. Sebenarnya, ketika hamil anak pertama pada 2011, saya juga pernah merakamkan sebuah single tetapi disebabkan emosi sedikit terganggu, jadi lagu tersebut terbiar begitu sahaja.

Adakah lagu tersebut akan dimasukkan ke dalam album yang bakal diterbitkan nanti?

Mungkin, bagaimanapun lagu tersebut perlu melalui proses rakaman semula memandangkan ia sudah terlalu lama. Jika difikirkan, memang agak sayang, kerana bagi saya lagu tersebut ada daya tarikan tetapi tidak berkesempatan untuk diperkenalkan kepada peminat.

Anda juga pernah terlibat dalam dunia lakonan, jadi bagaimana pula dengan kerjaya tersebut?

Bagi memberi laluan terhadap promosi album, saya terpaksa hentikan dahulu penglibatan dalam lakonan. Album pun sudah terlalu lama tertangguh, jika terlibat dengan penggambaran, saya tiada masa untuk masuk ke studio, jadi lebih baik saya hentikan sementara kerana sudah terlalu rindu untuk bernyanyi.

Perasaan menjadi bertambah terharu setelah melihat komen-komen peminat. Tambahan pula, sekarang saya sudah mempunyai kelab peminat sendiri.

Boleh ceritakan tentang kelab peminat anda itu?

Nama kelab peminat saya ialah Elo FC atau Elyana Official Fan Club. Sebenarnya, saya merupakan seorang yang mudah hilang semangat, jadi apabila melihat komen-komen peminat di laman sosial, ia membuatkan semangat saya terus berkobar-kobar untuk kembali ke dunia nyanyian.

Sekarang barulah saya sedar tentang kepentingan kewujudan kelab peminat. Sebelum ini saya pernah mempunyai kelab peminat, bahkan tidak begitu ambil peduli tentangnya. Perkara ini membuatkan saya rasa sangat bersalah terhadap peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post