Yasin cuba ikut muzik generasi kini


Bagi Yasin Sulaiman, seseorang artis perlu berubah dari segi persembahan lagu untuk terus bersaing dalam dunia seni yang semakin mencabar.

MASA berputar, begitu juga dengan muzik. Justeru, penerimaan orang terhadap satu-satu muzik itu juga berubah-ubah mengikut generasi. Maka, jika ingin terus kekal relevan dan diterima, ada kalanya ia memerlukan satu bentuk pengorbanan untuk mengikut rentak persekitaran.

Begitulah yang cuba dilakukan penyanyi Yasin Sulaiman dalam meneruskan momentumnya sebagai seorang anak seni. Jika sebelum ini pelantun lagu hit Mimpi Laila itu lebih dilihat dengan lagu-lagu berunsurkan ketuhanan dan mesej berbentuk Islamik, kini Yasin memulakan langkah baharunya untuk mencuba sesuatu yang berada di luar kelazimannya.

Justeru, bagi lembaran 2016, penyanyi berusia 41 tahun itu bakal tampil dengan lagu-lagu berunsurkan muzik moden.

“Kalau perhatikan lagu-lagu saya sebelum ini memang jelas lebih kepada lagu berbentuk Islamik. Dengan kata mudah, lagu-lagu berbentuk dakwah kepada orang ramai.

“Bagaimanapun, album terbaharu ini juga nanti bukanlah bermaksud saya sudah berhenti berdakwah. Cuma muzik itu sahaja yang sedikit berbeza. Pendekatan yang digunakan juga perlu bersesuaian dengan generasi kini agar kita mudah diterima,” katanya kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi di studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kata Yasin, lagu-lagu yang terkandung dalam album berjudul Muzik itu nanti juga secara tidak langsung akan menggambarkan sisi lain dirinya yang cuba bereksperimentasi dengan muzik berentak moden.

“Jika diikutkan muzik sebegitu memang bukan jiwa saya yang sebenar. Bagaimanapun, selepas saya perhatikan dan kaji, mungkin inilah yang terbaik untuk pikat pendengar dalam kalangan remaja masa kini.

“Lagu itu kalau kita dengar bunyinya memang moden sepenuhnya. Apa pun yang penting, identiti saya ketika menyanyi sebagai Yasin yang orang kenal masih sama. Itu yang saya tetap jaga,” kongsinya.

Bercerita mengenai pembikinan album tersebut, kata Yasin proses rakaman lagu sudah mula dibuat sejak dua tahun lalu lagi.

“Alhamdulillah kesemua sembilan lagu sudah siap dan kini saya sedang giat mempromosikan single pertama Muzik yang turut digunakan sebagai judul album.

“Bahkan dalam album itu juga saya ada berkolaborasi bersama komposer dan penyanyi Faizal Tahir,” kata bekas ahli kumpulan nasyid The Brothers itu.

Kata Yasin, dalam album itu juga, peminat berpeluang mendengar lagu duetnye bersama Faizal menerusi naskhah berjudul Dialah.

“Jadi untuk album kali ini boleh dikatakan hampir keseluruhannya lagu-lagu itu saya yang hasilkan sendiri. Pada masa sama ada beberapa lagu juga melibatkan kerjasama dengan Faizal,” katanya yang kini bernaung di bawah Warner Music Malaysia.

Dek mahu mengikut peredaran zaman, kata Yasin, dia juga kini bergiat aktif dalam mempromosikan projek seni dan perkembangan terbaharunya menerusi laman sosial Instagram.

“Kalau dahulu tidak ada medium sebegini. Bagaimanapun, sekarang ini aplikasi media sosial memainkan peranan penting juga.

“Bukan itu sahaja, saya juga mempunyai saluran YouTube sendiri untuk berkongsi dengan umum mengenai lagu-lagu yang saya hasilkan selain bersembang mengenai isu semasa,” katanya yang memberitahu dirinya boleh diiikuti menerusi akaun @yasinsulaiman.

Post a Comment

Previous Post Next Post