Satu lagi paparan imej Instagram menunjukkan Farah mencium anak perempuannya yang mempunyai maksud tersirat.
Angin tiada ribut pun tiada, tiba-tiba minggu ini industri seni dikejutkan dengan perceraian personaliti televisyen terkenal, Ally Iskandar dan isterinya, Nurfarahin Romli.
Perkara itu disahkan oleh pengacara berusia 40 tahun itu menerusi laman rasmi facebooknya Jumaat lalu.
Kenyataan Ally itu sekali gus mengejutkan banyak pihak kerana pasangan tersebut tidak pernah berdepan dengan gosip pergolakan rumah tangga selama empat tahun mereka bernikah pada 20 Januari 2012 di Masjid Kristal, Kuala Terengganu.
Tambahan pula, ramai yang menyukai hubungan kedua-duanya kerana dikatakan sama cantik dan sepadan.
Spekulasi perceraian pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) itu hebat diperkatakan beberapa hari lalu selepas Nurfarahin atau lebih dikenali sebagai Farah Lee memuat naik beberapa status sedih di laman Facebook seolah-olah menggambarkan keretakan hubungannya dengan Ally.
Malah, Khamis lalu, Nurfarahin telah memuat naik gambar dia mencium anak perempuannya di Instagram dan menulis kapsyen seperti memberi bayangan mengenai penamat kehidupannya dan dia kini dalam proses untuk memulakan sebuah kehidupan baharu.
Akhirnya segala tanda tanya peminat terjawab apabila Ally mengakui telah melafazkan cerai talak satu ke atas Nurfarahin di hadapan Hakim Syarie Azzeman Omar.
“Permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984 telah saya failkan dengan persetujuan Nurfarahin.
“Pada 17 Ogos 2016, di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, saya telah melafazkan cerai talak satu ke atas Nurfarahin di hadapan Hakim Syarie Azzeman Omar,” tulisnya.
Menurut Ally, kenyataan rasmi itu dikemukakan sebagai maklum balas kepada pertanyaan pihak media dan spekulasi yang berlegar di media sosial tentang situasi rumah tangganya dengan Nurfarahin.
“Terlebih dulu saya memohon kemaafan kerana tidak memberi respons secara terus kepada semua yang telah menghubungi saya dengan harapan tindakan ini ditanggapi sebagai keperluan untuk menenangkan keadaan.
“Alhamdulillah, urusan ini disempurnakan dalam keadaan lancar,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, kata Ally, biarpun tiada lagi ikatan perkahwinan, hubungannya dengan Nurfarahin serta ahli keluarga wanita berusia 27 itu adalah baik.
“Terima kasih kepada semua pihak yang cakna dan mengambil berat tentang situasi ini. Saya pohon agar kalian dapat mendoakan yang terbaik untuk kami,” ujarnya menutup bicara.
Ally dan Nurfarahin bernikah pada 20 Januari 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Maream Esabel, 2.