Ruhainies lebih berhati-hati


Kontroversi yang melanda diri membuatkan Ruhainies berasa tidak selesa dan memberikan impak negatif kepada dirinya.

SELAKU pendatang baharu, sememangnya bukan mudah untuk terus dikenali umum. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun cuba menonjolkan diri agar kehadirannya disedari umum. Sungguhpun begitu, berbeza pula dengan nasib wanita cantik bernama Ruhainies yang menjadi sebutan dan bualan ramai sejak kebelakangan ini.

Dalam tempoh kurang setahun pembabitannya dalam industri hiburan tanah air, dia sudah terpalit dengan pelbagai cerita. Ada yang gembira, ada juga cerita yang membuatkan dirinya berduka. Sungguhpun begitu, Ruhainies tidak mahu cepat melatah. Baginya, dia perlu berdepan situasi itu dengan tenang.

“Saya tidak sangka perkara sebegini boleh berlaku ke atas diri saya. Sebelum jadi pelakon, hanya baca kisah kontroversi artis lain sahaja. Tidak pernah terfikir pula saya sendiri akan laluinya. Apabila sudah terjadi kepada saya, barulah percaya yang perkara seperti itu tidak mustahil untuk berlaku ke atas sesiapa pun.

“Memang kalau ikutkan kontroversi seperti itu memberi impak kepada diri saya. Maklumlah, saya ini mencari rezeki dengan berlakon. Jadi, apabila timbul cerita-cerita begitu, ia menimbulkan rasa tidak selesa juga,” katanya yang baru-baru ini didakwa mempunyai hubungan dengan lelaki bergelar Datuk Red yang juga merupakan suami kepada penyanyi Adira.

Tidak mahu memanjangkan keadaan, katanya, biarlah kontroversi itu berlalu. Baginya, setiap apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah. Sekurang-kurangnya, ia memberi pengajaran buatnya agar lebih berhati-hati.

Sejak cerita kurang enak itu menjadi paparan media, pelakon berusia 24 tahun itu mengakui ada kalanya dia berasa bimbang sekiranya perkara sama berulang. Justeru, dia akan terus berwaspada dengan keadaan sekeliling.

“Jika saya ingin berjumpa dengan orang atas urusan kerja, kebiasaannya saya akan bawa pembantu peribadi atau ibu saya untuk temankan, melainkan saya memang sudah betul-betul kenal. Bagaimanapun, kalau perkara sudah nak jadi, adakalanya kita memang tak dapat elak, ” kata adik kepada pelakon Risteena Munim itu yang terkilan dengan apa yang berlaku.

Tak mahu suami orang

Jelas Ruhainies, sekiranya benar mahu mendirikan rumah tangga, dia akan memaklumkannya kepada umum. Tiada apa yang perlu disembunyikan. Cuma katanya, buat masa sekarang, dia belum terfikir untuk mengakhiri zaman bujang.

“Jika saya ada (seseorang yang istimewa), saya tidak akan sorok. Tak mahu berahsia. Buat masa ini, saya belum terfikir untuk ke arah itu. Lagipun, saya masih solo.

“Buat masa ini, saya mahu tumpukan pada kerjaya saya. Saya mahu capai apa yang saya mahu dulu. Fokus kerja dan kumpul duit,” katanya dalam satu sesi fotografi yang diadakan di Bukit Bendera Resort, Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Kata Ruhainies, dia juga punya pendirian dalam mencari pasangan hidup. Sebolehnya dia mahukan lelaki yang bukan sudah menjadi milik orang.

“Kalau saya ada teman lelaki pun statusnya bukan suami orang. Saya tidak mahu ambil hak orang, tapi kalau berstatus duda, saya boleh terima.

“Bagaimanapun, orang itu bergelar duda bukanlah sebab bercerai kerana mahu berkahwin dengan saya. Maksud saya, sewaktu kenal itu memang sudah berstatus duda. Itu saya boleh pertimbangkan,” jelas pelakon yang kini sedang popular dengan drama bersiri Menantu Ting Tong yang sedang bersiaran di slot Akasia.

Cabar diri

Bercakap mengenai drama itu, kata Ruhainies, dia bersyukur kerana maklum balas positif yang diberikan terhadap naskhah arahan sutradara Nazir Jamaluddin itu. Tambahan pula, pasangan hero yang digandingkan bersamanya, Azrel Ismail merupakan rakannya sendiri, justeru dia tidak berdepan masalah untuk mencari keserasian.

“Drama itu selalu menjadi trending. Ia menjadi sebuah cerita yang menarik kerana masing-masing memainkan peranan tersendiri untuk mewarnakan lagi jalan cerita drama berkenaan. Cuma selepas ini, saya mahu cuba karakter-karakter yang belum pernah lagi dilakukan.

“Saya tidak kisah watak apa yang mahu diberikan. Kalau boleh mahu cuba semua, sebab mahu cabar diri untuk jadi lebih serba boleh,” katanya yang bakal muncul dengan telefilem Ayah Tak Pernah Kalah pada 3 Oktober depan yang membawakan watak sebagai orang gelandangan.

Ada menerima beberapa tawaran untuk berlakon di layar perak, kata Ruhainies, buat masa sekarang, dia tidak berpeluang memenuhinya lagi.

“Sebolehnya, memang saya mahu terlibat dengan filem. Cuma apabila tawaran diberikan itu, kebetulan jadual penggambaran itu tidak dapat dipenuhi kerana terikat dengan komitmen lain,” katanya.

Bisnes

Dalam perkembangan lain, menurut Ruhainies, dia juga kini berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Selain sibuk di lokasi penggambaran, pada masa sama Ruhainies menguruskan perniagaan produk penjagaan kecantikan menerusi jenamanya sendiri, Ruhainies Rosysecret.

“Produk ini baru dijalankan kira-kira empat bulan lalu. Buat masa sekarang ia dipasarkan menerusi dalam talian sahaja.

“Kita ada promosikan menerusi laman sosial Instagram. Ia merupakan sebuah bisnes yang turut melibatkan rakan kongsi yang lain. Jadi, saya tidak berdepan masalah menguruskannya sekiranya sibuk di lokasi kerana akan ada rakan yang bantu,” jelasnya.

Menurutnya, produk itu sesuai dengan rutin hidupnya sebagai artis yang bekerja tidak mengira masa.

“Selain menjual, saya turut menggunakan produk itu sendiri. Bahkan, rutin saya yang selalu tidak cukup tidur ini juga boleh memberi kesan secara tidak langsung kepada kecantikan kulit. Jadi, saya gunakannya sebagai langkah penjagaan agar sentiasa tampil sihat,” tuturnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post