RUHAINIES, nama yang semakin mekar mengembangkan kuntum-kuntum debunga seninya dalam lapangan dunia hiburan negara. Hadir dengan beberapa buah drama popular di kaca televisyen membuatkan namanya kian dikenali.
Kesempatan mengadakan sesi fotografi bersama pelakon bertubuh kecil molek itu baru-baru ini menyingkap kisah sambutan lebarannya pada tahun ini bersama keluarga di Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, saya sangat teruja untuk menyambut lebaran tahun ini bersama keluarga. Setiap tahun, saya dan keluarga pasti akan pulang ke kampung halaman di Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Mungkin Syawal kali ini akan sedikit berbeza kerana ia merupakan tahun pertama saya meraikannya sebagai seorang artis,” ujarnya membuka perbualan.
Kata pelakon berusia 24 tahun itu, menu wajib yang perlu ada ketika menyambut lebaran adalah ayam turki masak gulai, ayam masak merah, nasi tomato, laksa, lemang dan ketupat.
“Negeri di sebelah utara memang terkenal dengan juadah laksa tetapi setiap kali beraya menu wajib kami sekeluarga adalah ayam turki masak gulai. Selalunya saya akan membantu ibu menyediakan juadah ayam masak merah dan air asam,” katanya.
Biarpun jadual seninya padat sepanjang Ramadan, namun ia tidak menghalang pelakon yang mula dikenali menerusi drama Hello Mr. Perfect itu untuk membantu ibunya membakar kuih raya.
“Sesibuk mana pun, saya tetap cuba meluangkan masa membantu ibu di dapur untuk membakar kuih. Setiap tahun, tidak pernah ketinggalan membuat kuih bersama-sama sebab dalam bulan Ramadan, saya akan pastikan ada masa untuk berbuka bersama keluarga.
“Antara kuih yang telah siap dibakar ialah biskut coklat, kuih badam dan cornflakes madu. Tiga jenis kuih ini juga sebenarnya merupakan kegemaran saya setiap kali raya,” ceritanya sambil ketawa.
Lebaran di Mekah
Jika tahun-tahun sebelum ini, Ruhainies akan berada di kampung selama 10 hari untuk beraya bersama keluarga tercinta. Namun, berbeza pada tahun ini apabila dia memendekkan cuti raya kepada tiga hari kerana bakal berangkat ke Mekah.
Ruhainies akan bertolak ke Tanah Suci selama 15 hari bagi menjalani penggambaran sebuah drama terbitan syarikat Zeel Production Sdn. Bhd. selain mengerjakan umrah.
“Tahun ini saya tetap akan pulang ke kampung halaman seperti biasa. Cuma, saya terpaksa pulang awal ke Kuala Lumpur pada raya ketiga untuk membuat persiapan sebelum berangkat ke Mekah pada raya kelima.
“Sebenarnya saya sangat teruja apabila terlibat dalam projek tersebut sebab ia memberi kelebihan untuk mengerjakan ibadah umrah selepas selesai penggambaran yang hanya memakan masa beberapa hari.
“Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Mekah dan peluang berada di sana pada bulan Syawal sangatlah mengujakan sebab ia memberi pengalaman merasai suasana beraya di tanah suci.
“Malah, saya tidak pergi berseorangan kerana saya turut membawa ibu bersama untuk mengerjakan umrah,” kata adik kepada pelakon Risteena Munim itu ceria.
Biarpun akan mula bekerja dan menunaikan umrah pada raya kelima, dia dan keluarga tetap mengadakan rumah terbuka raya pada 1 Syawal.
“Ibu dan ayah sendiri pun ada cakap mahu jemput kawan-kawan lama dan sekerja mereka. Jadi, lebih baik buat rumah terbuka sebab saya sendiri pun sudah lama tidak bertemu dengan rakan-rakan sekolah sejak bekerja,” tuturnya.
Kenangan Aidilfitri
Mengimbau kenangan Aidilfitri yang lalu, kongsi pelakon bertubuh genit itu, suasana beraya beramai-ramai bersama rakan di kampung adalah momen paling manis yang tidak mungkin dapat diulang kembali.
“Antara pengalaman yang saya tidak boleh lupa ialah sewaktu menerima duit raya bersama rakan-rakan di kampung. Pernah sekali, kami beraya di sebuah rumah dan diberi wang sebanyak 50 sen.
“Pada mulanya, saya fikir jumlah itu untuk seorang, rupanya perlu berkongsi dengan empat lagi rakan lain. Maknanya, tuan rumah memberi duit raya sebanyak 10 sen untuk seorang.
“Agak kecewa juga pada waktu itu tetapi apabila difikirkan kembali, ia sangat melucukan dan saya tidak akan lupa sampai bila-bila,” ujarnya sambil ketawa.
Bagi Ruhainies, suasana dan kemeriahan sambutan hari raya itu sendiri sebenarnya memberi banyak memori manis dalam hidupnya.
“Siapa yang tidak suka dengan hari raya. Semua orang seronok untuk meraikan hari kemenangan kita. Cuma pada saya, suasana seperti memakai baju raya yang cantik dan berwarna-warni, tradisi kunjung-mengunjung dan pelbagai menu wajib raya memberi pengertian yang sama buat saya setiap tahun.
“Apabila sudah meningkat dewasa, ada banyak perkara yang berubah contohnya tradisi menerima duit raya daripada orang dewasa memandangkan sudah bekerja.
“Jadi, inilah masanya untuk giliran kita pula menghulurkan duit raya kepada anak-anak kecil,” ujarnya yang gemar memilih busana kurung peplum atau gaun panjang ketika beraya.