Nikmat Syawal Akim, Stacy


KETIBAAN Syawal tahun ini memberi percikan rasa berbeza buat pasangan baharu, penyanyi Akim Ahmad dan Stacy. Masakan tidak, ini merupakan tahun pertama Stacy meraikan Aidilfitri sebagai isteri dan saudara baharu sejak memeluk agama Islam pada Ogos tahun lalu.

Keterujaan dan kegembiraan jelas terpancar daripada bait bicaranya sebaik disoal tentang sambutan Aidilfitri. Bukan tidak pernah menyambut raya, namun pengertian dan nikmat yang dirasai Stacy dan Akim amat berbeza pada tahun ini selepas bergelar pasangan suami isteri pada 5 Februari lepas.

Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 26, memulakan bicara dengan penuh teruja.

Jelasnya, dia diselubungi suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan apabila berpeluang menyambut Ramadan serta Aidilfitri sebagai seorang Muslim dan bersama lelaki yang dicintainya.

“Memang rasa berbeza sebab sekarang saya lebih memahami erti Ramadan dan Aidilfitri, secara tidak langsung menimbulkan perasaan teruja.

“Paling dinantikan sudah tentu amalan bersalaman dan memohon maaf pada pagi raya. Sebelum ini selalu melihat ia diamalkan oleh keluarga Akim, sekarang saya boleh terlibat sama selepas menjadi isterinya,” tutur Stacy.

Apa yang lebih menariknya jelas Stacy setiap kali sambutan Aidilfitri ibu Akim pasti menyiapkan sepasang baju raya sebagai hadiah buatnya. Terasa disayangi dan dihargai, kata Stacy, hadiah istimewa daripada ibu mertuanya yang hadir setahun sekali itu amat bermakna.

Biarpun mampu membeli pakaian yang direka khas oleh pereka fesyen ternama, baju raya jahitan ibu mertuanya dianggap paling mahal dan berharga.

“Sebenarnya sudah dua kali raya sebelum saya berkahwin, ibu Akim telah membuatkan baju raya sedondon. Walaupun ia baju raya biasa tetapi pemberiannya membuatkan diri terasa dihargai dan disayangi.

“Sebab itu, saya tidak berapa kisah tentang baju raya kerana tahu, ibu Akim pasti menyiapkan sepasang baju raya sedondon buat saya dan anak angkat kami, Bella,” katanya.

Berbual lanjut tentang Aidilfitri, luah Stacy, kebanyakan persiapan raya dilakukan oleh keluarga mertuanya. Selain masih kurang arif tentang keperluan raya, kesibukan jadual kerja dan proses berpindah ke rumah baharu pada akhir Ramadan juga membataskan Stacy untuk melakukan persiapan.





Biarpun begitu, setiap kali raya dan pulang ke kediaman keluarga suaminya di Johor Bahru, Stacy tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati juadah raya seperti rendang dan lontong yang menjadi makanan kegemarannya.

“Saya suka balik Johor, selain berkumpul dengan keluarga suami, paling dirindui adalah masakan ibu mertua. Bagi saya rendang dan lontong masakannya paling enak. Sejujurnya juga, kalau berbicara tentang juadah hari raya, saya hanya tahu makan sahaja.

“Bagaimanapun, disebabkan rendang menjadi makanan kegemaran Akim, saya akan cuba untuk belajar memasak daripada ibunya,” kata Stacy yang bercuti raya selama seminggu di Johor.

Akim batalkan umrah

Sama seperti Stacy, Akim juga bersyukur kerana dapat melalui pengalaman berpuasa dan menyambut Syawal bersama isterinya. Tiada permintaan lain yang diperlukan selain melihat keluarganya bersama anak angkat Bella, bahagia.

Menyentuh tentang sambutan raya bersama Stacy, jelas Akim ia satu pengalaman baharu buat dirinya apabila diberi kesempatan meraikan Syawal sebagai seorang suami dan bapa.

“Tahun ini pertama kali kami berpuasa dan beraya bersama. Adanya Stacy di sisi membuatkan saya lebih menghargai perjalanan kehidupan termasuklah sambutan Syawal.

“Walaupun persiapan lebih banyak kerana sudah berkeluarga, namun apa yang pasti raya saya tahun ini lebih meriah daripada biasa,” kata Akim yang turut muncul dengan koleksi pakaian raya sendiri di bawah jenama KimcyXRaffieynasir.

Sambung vokalis kumpulan Akim & Majistret itu, mengikut perancangan awal, sepatutnya dia telah berangkat ke Mekah pada 22 Jun lalu untuk menunaikan umrah dan dijangka pulang ke tanah air pada hari raya kedua.

Bagaimanapun, perancangan tersebut dibatalkan pada saat akhir bagi memberi fokus kepada proses berpindah rumah, serta sambutan Aidilfitri pertama Stacy sebagai saudara baharu.

“Sepatutnya saya telah pergi menunaikan umrah, namun selepas berfikir panjang saya membatalkan hasrat berkenaan untuk memberi fokus kepada proses pindah rumah dan Stacy.

“Tidak mungkin saya tinggalkan dia seorang diri untuk menyelesaikan semua perkara dan menyambut raya tanpa suami. Bagi saya, cukup penting untuk berada dengannya pada hari raya. Anggap saja sudah tiada rezeki, lagipun saya pernah ke Mekah sebelum ini, jadi tidaklah ralat sangat” ujar Akim yang pernah menunaikan umrah pada 2014.

Sunggupun begitu, niat untuk ke Mekah tidak dipadamkan begitu sahaja. Jelas Akim, selepas ini dia merancang untuk Mekah bersama Stacy.

“Biarlah jika berpeluang ke Mekah sekali lagi selepas ini saya akan pergi dengan isteri. Rasanya itu lebih afdal,” tutur Akim menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post