Terowong masa Aidilfitri Ayda Jebat


JIKA diturutkan keinginan hatinya, mahu sahaja Ayda Jebat menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga tatkala menanti ketibaan hari lebaran.

Seperti indahnya memori sewaktu masih bergelar seorang anak kecil, dia mahu kembali merasakan keseronokan bermain bunga api di samping melihat adik-beradik yang lain sibuk membantu ibunya menghias rumah.

Seperti rangkaian filem yang diputarkan secara berantai, figura genit berusia 24 tahun itu kemas memainkan satu persatu-satu memori manis tatkala menyambut Syawal pada usia muda.

Namun, itu cerita 15 tahun lalu, sewaktu Ayda atau nama lengkapnya, Nur Suhada Jebat masih belum menyedari tentang kuasa dan pengaruh yang bakal diciptanya sebagai seorang selebriti.

Kini, selepas berjaya memukau khalayak dengan bakatnya, Ayda yang mula mencipta nama sebagai pelakon menerusi drama bersiri Rindu Awak 200% itu mengakui merindukan momen indahnya itu sewaktu meraikan kedatangan Syawal.

Katanya, bergelar pelaku seni dengan komitmen yang tinggi sedikit sebanyak telah membataskan dirinya untuk kerap bertemu dengan kaum keluarga, lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan.

“Selepas bergelar anak seni, kehidupan saya menjadi sangat sibuk. Jika ada hari cuti yang diberikan oleh pihak produksi, saya menggunakannya untuk memenuhi undangan sesi fotografi dan menghadiri mesyuarat. Pendek kata, tiada erti rehat dalam kamus hidup saya.

“Begitu juga apabila tibanya bulan Ramadan, rutin harian dipenuhi dengan tuntutan kerja. Jadi, keluarga saya terpaksa bertandang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dan berbuka puasa bersama. Jika mereka tidak datang menjenguk, mungkin saya hanya akan berjumpa dengan mereka pada hari raya kelak,” kata anak kelahiran Melaka ini.

Tidak mahu terus berkompromi dengan tuntutan kariernya, Ayda berkata, dia menjadikan kedatangan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini sebagai titik pertemuan harmoni antara dirinya dan keluarga.

“Bagi saya, Aidilfitri merupakan senggang masa yang paling sesuai untuk bertemu dan mengeratkan silaturahim sesama keluarga. Saya akui kerjaya sebagai seorang pelakon memberikan impak yang besar terhadap pengurusan masa dan hal peribadi.

“Sebolehnya, saya mahu menghabiskan masa yang ada bersama keluarga dan dalam masa yang sama melawat ahli keluarga lain dan sanak-saudara lain yang tinggal di kampung,” ujar Ayda yang pulang bercuti di kampungnya.

Bantu

Biarpun sibuk mengelolakan kerjaya, pelantun lagu Pencuri Hati itu juga tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

“Selain ayah, saya juga mengambil tanggungjawab untuk menguruskan perbelanjaan keluarga sempena hari raya. Ia termasuk membelikan baju baharu buat adik-beradik yang lain.

“Saya tidak pernah melihat ia sebagai satu beban. Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang anak untuk meringankan beban orang tuanya. Lagipun, dengan siapa lagi saya mahu kongsikan rezeki kalau bukan dengan keluarga sendiri,” tutur Ayda.

Bercerita lanjut mengenai persiapan Aidilfitri, Ayda berkata, dia tidak terlalu memikirkan tentang busana yang akan digayakan pada pagi raya. Hal ini kerana kebanyakan baju-baju rayanya tahun ini diberi secara percuma oleh syarikat yang telah melantiknya sebagai duta pakaian untuk koleksi hari raya.

Sebagai jurucakap bagi syarikat tekstil terkemuka, Jakel dan Ariani, pelakon drama bersiri M.A.I.D itu mengakui beruntung kerana dapat menggunakan busana tersebut untuk menghadiri majlis-majlis yang bertemakan Aidilfitri.

“Banyak baju raya diberikan secara percuma kepada saya. Pada masa yang sama, masih ada beberapa pereka fesyen yang turut menghadiahkan baju raya kepada saya.

“Insya-Allah, bekalan baju raya tersebut bakal digunakan secara berperingkat-peringkat sewaktu memenuhi undangan majlis bertemakan hari raya,” ujar Ayda yang turut mengeluarkan belanja membeli baju raya jika potongan dan rekaannya menarik perhatian.


Ayda mengaku kebanyakan baju raya miliknya merupakan pemberian peminat, selain memperolehnya secara percuma daripada Jakel kerana menjadi duta mereka.

Ragut

Sambutan Aidilfitri sering diertikan sebagai hari kemenangan yang penuh dengan kegembiraan. Namun, aura positif itu tidak melambangkan insiden cemas yang pernah terjadi kepada Ayda Jebat dan adiknya sewaktu mereka berusia 13 dan 12 tahun.

Ketika kejadian, mereka didatangi oleh seorang lelaki yang sedang menunggang motor dan bertanyakan mengenai seseorang yang mereka tidak kenali.

Gagal menjawab pertanyaan, lelaki tersebut terus merentap rantai emas yang dipakai oleh Fina sebelum berlalu pergi.

“Saya panik pada waktu itu, Bayangkan, orang sanggup mencuri walaupun pada Syawal yang ketiga.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana adik selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” ungkap Ayda yang turut menasihati peminatnya untuk berhati-hati dan menjaga harta benda walaupun pada Aidilfitri.

#Assalamualaikum Cinta Raya

Melanjutkan perbualan mengenai karier, Ayda berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran bagi drama #Assalamualaikum Cinta Raya.

Masih belum ditentukan jadual siarannya, Ayda berkata, dia tidak pernah menolak untuk menjayakan drama bersiri popular yang diadaptasi ke dalam versi raya.

“Tidak salah rasanya untuk menerbitkan versi raya bagi drama bersiri yang popular.

“Selain memberikan kepuasan kepada penonton, drama versi raya juga dapat menambah pendapatan khususnya untuk kru dan tenaga belakang tabir yang terlibat,” ujarnya yang sebelum ini pernah terlibat dalam drama M.A.I.D Raya.

Menyentuh mengenai perancangannya selepas Aidilfitri, Ayda berkata, selain bakal terbang ke New Zealand bagi menghabiskan penggambaran filem Pinjamkan Hatiku, dia juga sedang merancang untuk menerbitkan single pop baharu.

“Selepas tamat penggambaran Pinjamkan Hatiku, saya akan terlibat dengan penggambaran drama bersiri Awak Sangat Nakal bersama Sharnaaz Ahmad.

“Kemungkinan besar, saya juga akan merakamkan single baharu yang akan digunakan sebagai lagu runut bunyi bagi drama tersebut,” tutup Ayda.

Post a Comment

Previous Post Next Post