Melissa McCarthy
BAGI siapa yang mengikuti perkembangan drama mahupun filem komedi antarabangsa, nama Melissa McCarthy pastinya bukan lagi asing.
Apatah lagi, keletahnya dalam membawakan watak-watak komedi tidak pernah menghampakan penontonnya.
Populariti McCarthy mula melonjak setelah lakonan menerusi filem Bridesmaids pada 2011 berjaya menyerlahkan bakatnya sehingga watak sebagai Megan tercalon menerusi Academy Award.
Menyingkap pembabitan McCarthy dalam dunia seni Hollywood, isteri kepada pelakon Ben Falcone ini mula mula mencipta nama setelah muncul di kaca TV melalui rancangan komedi Gilmore Girls dan Samantha Who? yang bermula pada 2000 hingga 2009.
Perjalanannya mula terbuka luas selepas dia ditawarkan untuk membintangi sitkom Mike & Molly bermula 2010 sehingga kini dan pembabitan itu sekaligus melayakkan dirinya diiktiraf sebagai Pelakon Komedi Program Siri Terbaik menerusi Primetime Emmy Award.
Tidak cukup dengan itu, McCarthy terus melakar kejayaan apabila lakonannya menerusi beberapa filem turut mendapat sambutan luar biasa seperti filem Identity Thief (2013), The Heat (2013), St. Vincent (2014) dan Spy (2015).
Biarpun sibuk menjalani rutin sebagai seorang pelakon, itu juga tidak menghalangnya untuk mencapai impian bergelar pereka fesyen. Menerusi laporan Vogue, McCarthy adalah selebriti terkini yang menampilkan koleksi fesyennya tersendiri, Melissa
McCarthy Seven7. Dalam satu temu bual bersama WWD, McCarthy memberitahu hasrat memiliki jenama pakaian sendiri adalah impiannya sejak dari kecil lagi. “Ini adalah satu perkara yang ingin saya lakukan sejak dari kecil lagi. Bayangkan, dahulu saya adalah pembaca setia majalah Vogue dan kerana terlalu minat dengan fesyen yang ditampilkan, saya mengumpul koleksi pakaian yang diperagakan dalam majalah itu.
“Saya telah mencari pengilang yang membantu kami dengan koleksi ini sejak empat tahun yang lalu,” ujarnya yang pernah menyambung pengajiannya di Fashion Institute Of Technology di New York.
Selain itu, tahun lalu, McCarthy turut menerima penghargaan apabila mendapat bintang yang terukir namanya di Hollywood Walk Of Fame, di Hollywood, California selain dinobatkan menduduki tempat ketiga sebagai pelakon wanita yang menerima bayaran tertinggi.
Tepis kritikan terhadap Gostbusters
Selepas membintangi filem aksi komedi, Spy yang mana telah melayakkannya menerima anugerah Aktres Komedi Terbaik Golden Globe Award, dan diiringi dengan filem The Boss, kini McCarthy bakal kembali beraksi menerusi filem Ghostbusters yang dinanti-nantikan peminatnya.
Walaupun masih belum ditayangkan di pawagam, filem tersebut telah mendapat kritikan negatif daripada peminat asal filem tersebut memandangkan ia menampilkan empat watak wanita yang lari daripada karya pertama.
"Mereka kata, kewujudan empat watak wanita dalam filem ini telah merosakkan zaman kana-kanak mereka dan itu adalah salah.
"Saya boleh bayangkan mereka (pengkritik) tidak ada kehidupan lain selain daripada membenci antara satu sama lain. Mereka hanya ada di alam maya (internet).
"Saya amat berharap mereka menemui kehidupan yang lebih baik," ujarnya menerusi laporan The Guardian.
Filem komedi seram blockbuster zaman 80-an, Ghostbusters telah diberi nafas baharu dalam filem reboot yang akan ditayangkan bermula 14 Julai ini.
Berlainan dengan filem asal, Ghostbuster kini menampilkan empat “pembasmi hantu” wanita iaitu Erin Gilbert (Kristen Wiig), Abby Yates (Melissa McCarthy), Jillian Holtzmann (Kate McKinnon) dan Patty Tolan (Leslie Jones) berganding tenaga untuk menyelamatkan dunia dari ancaman kuasa jahat dari alam ghaib.
Ghostbusters kali ini juga menampilkan pelakon-pelakon asal sebagai cameo seperti Bill Murray, Dan Aykroyd, Sigourney Weaver, Annie Potts dan Ernie Hudson.
Filem : Ghostbusters
Tarikh Tayangan: 14 Julai 2016
Pengarah: Paul Feig
Lakonan: Kristen Wiig, Melissa McCarthy, Kate McKinnon, Leslie Jones, Chris Hemsworth