Alice Through The Looking Glass
SELEPAS kejayaan filem Alice In Wonderland (2010), Walt Disney Pictures kembali sekali lagi dengan sekuel terbaharunya, Alice Through The Looking Glass.
Paling utama, filem adaptasi karya Lewis Caroll ini masih mengekalkan bintang utamanya, Mia Wasikowska (Alice Kingsleigh) di samping pelakon lain seperti Johnny Depp sebagai Mad Hatter, Anne Hathaway (White Queen), Helena Bonham Carter (Red Queen), Alan Rickman (Catterpillar), Stephen Fry (Cheshire Cat), Michael Sheen (White Rabbit) dan Timothy Spall (Bayard).
Selain itu, terdapat juga karakter baru yang ditampilkan iaitu Rhys Ifans yang berperanan sebagai Zanik Hightopp, ayah Mad Hatter dan Sacha Baron Cohen yang menjadi Time.
Sungguhpun tidak mendapat sentuhan daripada pengarah tersohor, Tim Burton, filem arahan James Bobin ini bagaimanapun berjaya digarap dengan begitu baik sekali.
Walaupun jalan ceritanya lebih konflik, Bobin berjaya menyampaikannya dengan teratur dan tidak meleret terutamanya mengenai kisah keluarga Hightopp juga punca perselisihan faham di antara White Queen dan Red Queen.
Bukan hanya sebuah filem ringan yang menghiburkan, Alice Through The Looking Glass banyak meninggalkan pengajaran berguna serta pengisian tersendiri dalam penceritaannya sama ada secara langsung atau pun tidak.
Pada masa sama, filem ini turut mengingati manusia agar sentiasa menghargai masa selain memaparkan bahawasanya setiap kesilapan mengajar untuk terus memperbaiki setiap tingkah laku seterusnya mengambil iktibar daripadanya.
Bahkan, bagaikan satu keajaiban apabila hanya satu kemaafan juga mampu membendung rasa marah dan kecewa seseorang.
Alice Through The Looking Glass mengisahkan usaha Alice Kingsleigh yang perlu 'melawan masa' bagi menyelamatkan keluarga sahabatnya, Mad Hatter lantas menemui Time. Time bukanlah kiasan namun makhluk yang dibuat daripada jam, dan tinggal di Grand Clock. Bagaimanapun, perjalanan Alice ke sana tidaklah mudah kerana harus meminjam Chronosphere iaitu pengatur waktu yang disimpan di ruang Grand Clock. Pada masa sama, musuh lama Alice, Red Queen, juga menginginkannya dan berusaha menghalang Alice seterusnya menghancurkan Wonderland dengan menghentikan waktu.
Apakah yang akan berlaku? Jangan lupa menontonnya di pawagam berdekatan yang sudah bermula sejak 6 Julai lalu.
ALICE THROUGH THE LOOKING GLASS
PENGARAH: James Bobin
PELAKON: Mia Wasikowska, Johnny Depp, Helena Bonham Carter, Anne Hathaway, Sacha Baron Cohen
KLASIFIKASI: P13
DURASI: 1 Jam 53 Minit
GENRE: Pengembaraan / Fantasi
TARIKH TAYANGAN: 6 Julai 2016
KESELURUHAN: ****