SELEPAS kejayaan Ice Age (2002), Ice Age: The Meltdown (2006), Ice Age: Dawn of the Dinosaurs (2009), Ice Age: Continental Drift (2012), francais ini kembali dengan Ice Age: Collision Course.
Masih mengekalkan Mike Thurmeier selaku pengarah sejak dari dua karya terdahulu, turut sama mengarahkan siri kelima kali ini adalah Galen T. Chu.
Bukan itu sahaja, filem ini juga turut mengekalkan suara untuk karakter utama seperti Ray Romano (Manny), John Leguizamo (Sid), Denis Leary (Diego), Queen Latifah (Ellie), Jennifer Lopez (Shira) dan ramai lagi.
Filem animasi kekeluargaan ini diterbitkan menerusi teknik animasi komputer 3D dihasilkan Blue Sky Studios dan sudah mula menemui penonton sejak 7 Julai lalu.
Ia menceritakan mengenai Petualangan Scrat yang pergi ke ruang angkasa sehingga mencetuskan ancaman apabila tahi-tahi bintang jatuh ke bumi sehingga mengancam keselamatan makhluk di dalamnya.
Untuk menyelamatkan diri dari makhluk tersebut, Manny, Sid, Diego dan kawanannya meninggalkan rumah mereka untuk mencari penghidupan baru.
Bagaimanapun ketika dalam perjalanan itu, mereka bertemu dengan satu tempat yang cukup indah.
Secara keseluruhannya, sama seperti karya-karyanya sebelum ini, Ice Age tidak pernah menghampakan dari segi jalan cerita dan unsur komedinya.
Dan ia masih dikekalkan di dalam filem ini, bagaimanapun menerusi cara penyampaian yang berbeza.
Dari segi alih suara, penulis rasa tidak perlu dipertikaikan lagi kemampuan ke semua pelakon sama ada baharu lama.
Begitu juga dengan animasi 3D yang cukup menarik perhatian.
Pendek kata, jika anda mencari sebuah karya santai untuk ditonton seisi keluarga pada hari raya ini, maka filem ini boleh menjadi sebahagian pilihan anda.
Ice Age: Collision Course
PENGARAH: Mike Thurmeier & Galen T. Chu.
PELAKON: Ray Romano, Denis Leary, John Leguizamo, Jennifer Lopez, Keke Palmer & Simon Pegg.
GENRE : Animasi
DURASI : 1 jam 35 minit
KLASIFIKASI : U
TAYANGAN : 7 Jul 2016
KESELURUHAN : * * * *