Raja Afiq balik raya di Pontian Johor.
Pelakon Raja Afiq memberitahu dia hanya makan makanan berminyak dan terpaksa melanggar pantang iaitu dietnya pada setiap kali Hari Raya sahaja.
Afiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali, 22, berkata, perkara tersebut hanya berlaku setahun sekali dan ia tidak menjejaskan diet yang dilakukan sejak tiga tahun itu.
"Saya dulu gemuk dan tiga tahun ini saya memang jaga pemakanan dan betul-betul diet cuma pada Hari Raya sahaja saya terpaksa melanggar diet saya.
"Raya kita sambut setahun sekali sahaja dan rasa rugi pula kalau tidak makan makanan yang kita jumpa setahun sekali itu seperti lemang dan ayam masak merah," ujarnya.
Raja Afiq berkata, dia menyambut Hari Raya selama seminggu di kampung halamannya di Pontian Johor.
Sementara itu bercerita tentang Hari Raya, kebiasaanya dia akan melakukan aktiviti wajib iaitu membakar lemang bersama saudara maranya di kampung.
Katanya, suasana sambutan raya di kampung sangat meriah dan masa untuk bersama keluarga dan sanak saudara yang jarang berjumpa.
"Malam raya kami akan bakar lemang, manakala ibu saya akan masak ayam masak merah kegemaran saya. Selain itu kami akan duduk dan berborak-borak sebab masing-masing lama tak berjumpa.
"Insya-Allah tahun ini saya akan beraya selama seminggu di kampung sebelum kembali bekerja," ujarnya.