Ashraf Khalid & Tya Ariffin Raya sama, nikmat berbeza


MAAF - Ashraf tidak melihat posisi sebagai suami adalah hanya untuk memaafkan isteri tetapi peluang untuk mereka sama-sama menjadi lebih baik

Bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, kehadiran lebaran pastinya membangkitkan suasana kelainan dengan kehadiran insan tercinta di hari mulia.

Keterujaan yang sama turut dikongsi oleh pasangan muda, Ashraf Khalid Mohamed Jiwa, 24, dan isterinya, seorang pelakon berbakat besar, Nurtria Wulandri Ariffin atau lebih dikenali sebagai Tya Ariffin bagi sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini.

Ditambah pula dengan pertembungan dua budaya antara Ashraf dari Malaysia dan Tya dari Palembang, Indonesia, masing-masing tidak sabar untuk merasai pengalaman baharu.

“Sebenarnya bukan sahaja pada hari raya yang membuat saya rasa tidak sabar, malah sejak berpuasa lagi perbezaan itu sudah mulai jelas apabila sudah beristeri.

“Ketika bujang, saya menjalani ibadah puasa seadanya. Kehadiran Syawal juga seperti tiada beza dengan sambutan perayaan lain. Tahun ini, saya ternanti-nanti apa lagi kejutan yang akan diberikan oleh isteri,” ujar Ashraf ketika sesi fotografi di kediamannya di ibu kota, baru-baru ini.

Terurus

Terpancar sinar kebahagiaan pada mata anak tiri Datuk Siti Nurhaliza ini saat bercerita bagaimana kehadiran Tya dalam hidupnya menjadikan nikmat raya tahun ini semakin dirasai.

Kata anak ketiga dalam keluarga itu, jika dahulu, persiapan menjelang hari raya adalah perkara terakhir difikirkan memandangkan dirinya sentiasa sibuk bekerja dan tiada masa untuk membeli-belah untuk diri sendiri.

Berbeza rutin tahun ini, beberapa hari menjelang puasa, Tya sudah menyatakan keinginan tentang berapa helai baju raya dan warna apa yang ingin dijadikan tema mereka berdua tahun ini.

“Sebagai lelaki, warna sedondon atau berapa helai baju Melayu adalah perkara remeh dan memang bukan keutamaan saat menyambut hari raya. Asalkan ada baju baharu, sudah memadai.

“Tetapi melihat keterujaan Tya memikirkan persiapan kami berdua membuatkan saya menyedari mungkin ini masanya untuk lebih prihatin tentang perkara-perkara kecil yang membahagiakan isteri,” katanya yang menempah busana raya di Indonesia ibu mertuanya mempunyai sebuah kedai jahit.

Selain daripada itu, Ashraf yang juga Ketua Pegawai Eksekutif A Klasse serta pengasas organisasi Generasi Bersatu Malaysia (GBM) turut tidak sabar untuk membawa Tya pulang beraya di kampung halaman di Sungai Petani, Kedah.

Kata Ashraf , dia berharap berhari raya di Sungai Petani mampu mengubat rindu Tya pada keluarga di Indonesia.

“Saya memahami perasaan Tya yang pasti sedih kerana ini kali pertama dia tidak dapat beraya bersama keluarga di Palembang namun saya cuba memberikan rasa yang sama dengan membawanya pulang beraya di kampung.

“Semoga raya di Malaysia tahun ini bakal terselit sebagai antara kenangan terindah buat isteri meskipun beraya jauh di perantauan,” katanya yang akan terbang ke Indonesia pada hari raya ketiga untuk meraikan Syawal bersama keluarga mertua.

Pengalaman baharu

Saat sang suami menyebut nama kampung halamannya di Palembang, terkilas raut wajah sayu pada wajah wanita yang bergelar isteri seawal usia 21 tahun itu.

Ketika ditanya bagaimana perasaan menyambut Aidilfitri di negara orang, Tya masih mampu tersenyum manis sambil memberitahu dia memang tidak sabar merasai suasana raya di Malaysia.

Walaupun jauh daripada keluarga, kehadiran famili Ashraf mengisi kekosongan itu dan Tya sendiri tidak sabar untuk pulang ke Sungai Petani kerana mahu merasai pengalaman yang mungkin serupa di Indonesia.

“Saya mempunyai keluarga besar di Palembang. Bapa mempunyai 16 orang adik beradik, jadi bayangkan betapa ramainya anak-anak saudara serta sepupu sepapat yang saya ada.

“Sebak berjauhan dengan keluarga itu tidak dapat dielakkan namun saya yakin, pasti tiada banyak bezanya sambutan Syawal di sini dengan Indonesia kerana tujuannya masih sama iaitu meraikan kemenangan berpuasa sebulan,” katanya yang memilih tema warna krim dan merah saga sebagai baju raya bersama suami.

Menyentuh tentang juadah raya yang berbeza antara Malaysia dan Indonesia, Tya berkata secara keseluruhannya tidak banyak yang berlainan kerana di sana, mereka juga mempunyai ketupat dan rendang sebagai hidangan wajib.

Cuma pada tahun ini, Ashraf memintanya belajar menyediakan makanan kegemarannya iaitu ayam percik dan Tya nekad mahu menuntut ilmu dengan ibu mertuanya, Tengku Zawiyah.

“Saya beruntung kerana suami tidak suka makan makanan yang sukar disediakan dan lebih gemar makanan yang ringkas sahaja.

“Jika pergi beraya pun, dia tidak suka memakan semua hidangan sebaliknya hanya memilih yang biasa dimakan sahaja,” tuturnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post