Elfira Loy susah minta maaf


Elfira Loy menyifatkan Aidilfitri sebagai bulan yang memberi kesempatan buatnya bermaaf-maafan dengan ahli keluarga.

Bagi peminat yang mengenali pelakon kecil molek, Elfira Loy, 21, pasti sudah arif akan rutin raya tahunan gadis ini pada setiap tahun.

Pemilik nama lengkap Nurul Elfira Loy ini gemar mengambil kesempatan cuti beraya untuk makan angin ke luar negara bersama keluarga tercinta.

Namun sejak tahun lalu, rutin tersebut berubah selepas datuknya meninggal dunia. Dia bersama adik beradiknya, Ezlisa Loy dan Ezzrin Loy mahu menemani neneknya yang tinggal sendirian di Kedah. Tradisi tersebut diteruskan Elfira pada tahun ini.

KOSMO!: Bagaimanakah dengan persiapan raya Elfira tahun ini?

ELFIRA: Tahun ini biasa saja seperti tahun-tahun sebelumnya. Saya lebih fokus pada keperluan mama dan adik-adik. Itu lebih penting dan menggembirakan hati saya.

Di manakah anda berhari raya tahun ini?

Insya-Allah, saya akan pulang beraya di Kedah bersama adik-adik. Tahun ini menandakan tahun kedua saya beraya di kampung kerana mahu menemani nenek yang tinggal sendirian.

Kebiasaannya, anda akan melancong bila tiba hari raya. Adakah tahun ini rancangan itu dibatalkan?

Pada saya, percutian yang paling seronok ialah bila tidak dirancang. Siapa tahu mungkin hari raya kedua tiba-tiba saya akan terbang ke destinasi pelancongan.

Apakah yang membuatkan anda teruja untuk pulang ke kampung?

Saya sukakan suasananya terutama apabila kami sekeluarga bergotong-royong memasak lauk-pauk. Apa yang paling seronok, kami menangkap sendiri ayam kampung, bersihkan bulu dan masak seperti orang dulu-dulu lakukan.

Boleh kongsikan makna dan pengertian Syawal untuk anda?

Syawal bagi saya adalah satu-satunya waktu yang berikan saya peluang untuk memohon maaf kepada semua ahli keluarga dengan seikhlas hati. Sebagai anak sulung, saya seorang yang susah untuk minta maaf. Jadi, bila tiba hari raya dengan semua sanak saudara berkumpul, barulah saya lembut hati untuk meminta maaf. Saya sangat menantikan Aidilfitri untuk saat-saat berharga ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post