Sharifah Khasif elak bermadu kali kedua




Sharifah Khasif kini sedang berdepan ujian apabila bekas suami mahukan hak penjagaan penuh terhadap anak perempuannya, Abeer.

Pejam celik pejam celik, sudah hampir tiga tahun rumah tangga Johan Qariah Tilawah Al-Quran 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman bersama bekas suaminya, Datuk Seri Mohammad Hizal Othman berakhir.

Sehingga hari ini, Sharifah Khasif masih belum bertemu pengganti dan bersendirian membesarkan anak tunggalnya, Abeer Widad yang sudah mencecah usia lima tahun.

Ketika ditemui pada sidang akhbar Malam Kesenian & Kebudayaan Qasidah Night di Restoran Rebung baru-baru ini, wanita berusia 37 tahun itu mengakui naluri kecilnya masih menyimpan hasrat untuk bernikah untuk kali kedua.

Namun kali ini, dia seboleh-bolehnya mahu mengelak bertemu jodoh dengan suami orang selepas melalui pengalaman kurang membahagiakan sebagai isteri kedua dalam perkahwinan pertama.

Bagaimanakah keadaan anda sepanjang tiga tahun hidup solo sebagai ibu tunggal?

SHARIFAH KHASIF: Alhamdulillah, saya baik-baik sahaja. Kebanyakan masa dihabiskan dengan bekerja dan membesarkan anak. Jujurnya, saya sendiri terlupa sudah tiga tahun rupa-rupanya perceraian antara saya dan bekas suami berlaku.

Tidakkah anda mempunyai rancangan untuk berkahwin semula?

Saya memang mahu berkahwin semula kerana lumrah wanita memerlukan seorang suami untuk melindungi dan menyayanginya. Namun kali ini, saya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup kerana mengambil pengajaran daripada perkahwinan pertama. Kalau boleh, saya sering berdoa kepada Allah agar jika ditakdirkan bernikah lagi biarlah bukan dengan lelaki milik orang. Sesungguhnya hidup bermadu itu tidak semudah seperti yang dilihat dan disangka.

Apakah ciri-ciri lelaki yang anda cari kali ini?

Saya mahukan lelaki yang mempunyai empat ciri utama ini iaitu cantik, cerdik, setia dan terdidik. Saya berharap dengan adanya kualiti yang saya sebut ini, jika saya mendirikan rumah tangga lagi biarlah bertahan sehingga ke syurga. Jangan salah faham, sehingga kini saya masih berjumpa dengan calon yang sesuai jadi doakanlah saya.

Adakah anda mempunyai sesalan dengan perkahwinan pertama?

Tiada apa yang saya sesalkan kerana itu semua takdir dan saya terima dengan reda. Namun saya akui, ketika berkahwin niat saya hanya mahukan zuriat. Jadi apabila puteri saya lahir, Allah tarik nikmat suami dan keluarga. Jadi, untuk pernikahan kali kedua jika terjadi, saya mahu betulkan niat berkahwin saya iaitu untuk membina keluarga. Saya sebenarnya tidak suka hidup sendirian kerana akan mengundang banyak fitnah.

Sejak bercerai, bagaimana pula dengan penerimaan anak anda, Abeer?

Alhamdulillah, dia seorang anak yang baik, bijak dan senang diuruskan. Namun sejak akhir-akhir ini, timbul sedikit masalah berhubung hak penjagaan Abeer apabila bekas suami secara tiba-tiba mahukan hak penjagaan penuh terhadapnya selepas tiga tahun dia dibesarkan oleh saya. Buat sementara waktu, saya sudah menang hak penjagaan sementara dan perbicaraan seterusnya akan berlangsung pada bulan Mei nanti.

Mengapakah isu penjagaan timbul selepas sekian lama anda bercerai?

Itu juga pertanyaan yang masih menghantui diri saya. Saya tidak faham kenapa selepas tiga tahun, barulah bekas suami mahukan hak penjagaan penuh ke atas Abeer sedangkan sebelum ini, hubungan keluarga bekas madu baik sahaja dengan anak saya. Kini, komunikasi sudah terjejas dek beberapa percubaan bekas suami tidak memulangkan Abeer kepada saya selepas tamat waktu melawatnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post