Sissy Imann selesa diurus keluarga




Kehadirannya dalam industri hiburan muzik tanah air mula disedari sewaktu penyertaannya menerusi program realiti Big Stage pada tahun lalu.

Sungguhpun begitu, hakikat sebenar, anak muda berbakat besar yang memperkenalkan diri sebagai Sissy Imann itu sudah mula mencuba nasib dalam arena nyanyian kira-kira enam tahun lalu tatkala mempertaruhkan lagu Mungkin Kamu pada tahun 2013. Ketika itu, dia masih bernaung di bawah syarikat rakaman FMC Music.

Memang tidak dinafikan sebelum ini perjalanan kariernya bergerak agak perlahan, sementelah ketika itu penyanyi berusia 24 tahun berkenaan masih lagi menuntut di Institut Pendidikan Guru Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur dalam jurusan pendidikan muzik.

Siapa sangka selepas pembabitannya dalam Big Stage ramai yang membuka mata dengan bakat yang ada pada pemilik nama sebenar Sissy Imann Mohammad Kamil itu. Bahkan, sehingga ke hari ini, penyanyi dan komposer yang baru tampil dengan single berjudul Pesanan Ayahanda itu mengakui, jadual kariernya kini semakin padat.

“Dahulu ada juga undangan persembahan, cuma tidak serancak sekarang. Barangkali inilah hikmah Allah nak beri saya peluang belajar baik-baik. Sekarang ini, saya pula rasa seperti susah nak atur jadual seni, lebih-lebih lagi jika ada permintaan daripada pihak luar yang meminta saya membuat lagu untuk mereka,” ujar penyanyi yang menamatkan pengajiannya dengan status ijazah kelas pertama itu pada tahun lalu.

Cerita panas

Tatkala ramai muka-muka baharu terpalit dengan cerita-cerita kontroversi sekali gus melonjakkan nama mereka, Sissy boleh dikategorikan sebagai individu yang masih kalis daripada noda sensasi dan cerita panas yang mengaitkan dirinya.

Sungguhpun begitu, kata Sissy dia tidak pernah terfikir untuk mencuba meletakkan diri dalam situasi tersebut meskipun sedar nama akan pantas dikenali. Seboleh-bolehnya, biarlah cerita yang timbul itu berkisarkan bakat dan muzik yang cuba dipertaruhkannya.

“Bagaimanapun, tempoh hari ada pihak yang cuba kaitkan saya mempunyai hubungan dengan penyanyi Ariff Bahran. Bagaimanapun hal begitu timbul sekejap sahaja kerana hakikat sebenar kami tiada apa-apa pun hubungan istimewa. Jadi, akhirnya apabila kebenaran dah muncul, orang akhirnya tahu kami hanya berkawan dan cerita itu habis begitu.

“Namun, saya melihat situasi ini (tiada kontroversi) mungkin disebabkan oleh doa ayahanda dan bonda (panggilan ayah dan ibu) agar saya dijauhkan daripada cerita-cerita negatif. Jadi, sebab itulah mudah sahaja perjalanan seni saya dan tiada cerita kurang enak timbul,” kongsinya yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Faithful Music selepas disunting penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir.

Kongsi Sissy lagi, dia juga menjalani kehidupan bersosial seperti anak-anak muda lain seusia dengannya. Cuma, barangkali dia mempunyai cara bersosial yang berbeza.

“Saya macam anak muda lain, cuma cara saya bersosial tidak sama. Saya lebih suka kawan-kawan datang lepak di rumah. Saya ini pemuzik, jadi kawan-kawan saya memang akan diundang ke rumah jamming sampai pukul 2 hingga 3 pagi.

“Ada juga saya keluar bersosial menonton wayang, pergi konsert, cuma kebanyakan masa memang saya ada di rumah dengan kawan-kawan. Sampaikan ada yang melihat saya ini seolah-olah dikawal keluarga. Bagaimanapun, kawan-kawan saya semua tahu yang ayahanda dan bonda saya sangat okay. Cumanya mereka lebih selesa kalau saya ada di depan mata. Sekurang-kurangnya mereka tahu perlakuan baik buruk saya di depan mereka,” katanya.

Atas sebab itu jugalah, kata Sissy dia kini selesa diuruskan oleh ahli keluarganya sendiri. Maka, tidak hairanlah ke mana-mana acara, Sissy sering ditemani bapanya sebagai pembantu selain ibunya bertindak sebagai individu yang mengurus jadual seninya.

“Orang melihat saya seperti dikawal, sebenarnya dari sudut pandangan saya pula ia memudahkan kerja saya. Bahkan, ayahanda saya yang akan mendandankan rambut saya selain menguruskan hal-hal berkaitan perhubungan awam.

“Saya juga rasa lebih senang bersama bonda kerana dia lebih kenal saya dan mood saya bagaimana. Bahkan, jika ahli keluarga yang urus, mereka tahu yang terbaik untuk diri kita. Cuma saya pula yang kadang-kadang rasa kasihan dengan ayahanda dan bonda. Bimbang saya menyusahkan mereka kerana bekerja untuk saya. Bagaimanapun, selagi mereka larat, mereka kata okay sahaja,” katanya.

Menurut Sissy, dia juga ada menerima beberapa tawaran daripada syarikat pengurusan termasuklah dari luar negara yang mahu menguruskan kerjaya seninya sebelum ini.

Bagaimanapun, rata-rata mereka meletakkan syarat untuk Sissy tidak melibatkan ahli keluarga dalam kerjaya seninya. Hal itu membuatkan Sissy lebih sanggup melupakan tawaran-tawaran sebegitu kerana baginya dia tidak boleh mengetepikan keluarganya dalam segala hal.

“Kemungkinan ada pihak yang tidak faham. Jika saya bekerja dengan keluarga, sekurang-kurangnya saya sudah mengenali mereka dan mereka juga tahu nak uruskan saya bagaimana. Maka, ia lebih memudahkan dalam segala hal sebenarnya,” kongsinya.


Sapioseksual

Disebabkan ada yang melihat Sissy seperti dikongkong keluarga, timbul spekulasi bahawa penyanyi lagu Jatuh yang dijadikan sebagai runut bunyi drama Papa Nak Menantu itu sukar untuk didekati, lebih-lebih lagi oleh jejaka di luar sana.

Bagaimanapun, kata Sissy dia sebenarnya baru sahaja mengalami episod putus cinta pada tahun lalu sebelum menyertai program Big Stage.

“Kalau tanya saya sekarang ini, memang tiada (teman lelaki) lagi. Keinginan untuk mempunyai insan istimewa itu semestinya ada. Cuma, buat masa ini saya terikat dengan komitmen.

“Saya pernah bercinta dengan seorang jejaka, namun kami putus disebabkan tidak mempunyai matlamat hidup yang sama. Jadi, kami berpisah secara baik.

“Apa yang saya boleh katakan, putus cinta itu betul-betul meninggalkan kesan yang pedih pada diri ini. Jadi, secara tidak langsung juga ia membuktikan bahawa ayahanda saya okay sahaja kalau saya bercinta,” selorohnya yang juga muncul dalam program The House bersama Sarah Suhairi dan Wani Kayrie.

Cerita Sissy, dalam mencari teman hidup, katanya, dia memerlukan seseorang yang boleh menerima matlamat dan sasaran yang diinginkannya.

“Saya merupakan individu yang tidak boleh duduk diam. Saya mahu cari rezeki untuk diberikan kepada keluarga Mungkin ada sesetengah lelaki apabila berkahwin mereka mahu fokus kepada dirinya sahaja, atau suruh saya duduk di rumah sahaja.

“Walaupun satu hari nanti saya ada suami, saya merasakan tanggungjawab saya sebagai anak itu masih kuat, saya masih nak bekerja. Harapnya bakal suami nanti boleh menerima diri saya begitu. Saya perlukan seorang teman hidup yang betul-betul memahami diri saya, dan faham tanggungjawab yang saya perlu pikul sebagai seorang anak,” luahnya.

Ditanya mengenai kriteria fizikal yang dicari, menurut Sissy dia tidak menekankan aspek fizikal, sebaliknya lebih tertarik kepada individu yang mempunyai akal yang bijaksana.

“Bagi saya, rupa itu tidak penting. Kalau saya dah suka, saya akan suka individu itu. Tidak ada kriteria khusus kerana saya lebih melihat kepada personaliti individu itu.

“Sungguhpun begitu, saya lebih suka pada lelaki yang banyak tahu hal-hal yang saya tidak tahu. Jadi, perkara yang saya tidak tahu, dia boleh kongsikan ia kepada saya. Ini kerana, saya lebih tertarik dengan kepintaran dan kebijaksanaan seseorang. Golongan seperti saya ini dikenali sebagai sapioseksual,” ceritanya yang bakal muncul dalam drama berjudul Kariah Cakpong.

Post a Comment

Previous Post Next Post