Jati diri Joe Taslim




Unik mengenai rakyat dan bangsa Indonesia, mereka sangat mengagungkan asal-usul mereka walaupun di mana sahaja kaki mereka berpijak di segenap dunia.

Tidak ketinggalan aktor Indonesia, Joe Taslim yang kini rancak membina nama di Hollywood tidak kekok untuk berkongsi mengenai susur galur dirinya yang berasal dari Palembang, Indonesia.

Mengangkat martabat semangat garuda, pemilik nama sebenar Johannes Taslim yang berusia 38 tahun itu menegaskan, keberadaan dirinya di pentas Hollywood turut membawa nama negara berkenaan di arena seni antarabangsa.

Mempunyai raut wajah tampan, bekas atlet judo kebangsaan Indonesia itu meneruskan legasinya di bumi Hollywood.

Berpangkalan di negara Uncle Sam, Kosmo! secara eksklusif diberi peluang mewawancara pelakon itu menerusi panggilan telefon berkenaan rencananya sebagai aktor di Amerika Syarikat.

“Saya tidak berada di Hollywood sebagai Joe Taslim semata-mata, sebaliknya turut membawa semangat garuda dan mewakili seluruh bakat dari Indonesia secara amnya.

“Sebagai rakyat Indonesia, sudah tentu saya bangga apabila bakat dari rantau Nusantara diiktiraf di Hollywood. Saya akan bekerja dengan lebih kuat dan jujur dalam berkarya kerana turut membawa nama Indonesia,” katanya memulakan bicara.

Cabaran

Mengukuhkan tapak di Hollywood, wajah Joe antara artis Nusantara yang tidak asing terpampang pada papan billboard di seluruh Amerika Syarikat impak daripada menjayakan watak sebagai Li Yong dalam siri televisyen Warrior.

Ikonik mengenai siri televisyen Warrior adalah konsep penceritaannya daripada ilham legenda seni bela diri terkenal iaitu mendiang Bruce Lee.

Mengakui menjadi sebahagian daripada watak dalam siri televisyen berkenaan umpama penghargaan tertinggi dalam hidupnya.

“Konsep penceritaan Warrior cukup dekat dengan diri saya memandangkan ia berkisar mengenai perjuangan imigran dari China memulakan kehidupan di tempat asing.

“Berlatarbelakangkan zaman era peperangan Tong sekitar tahun 1880-an, Warrior menghidupkan kembali kehidupan komuniti imigran di sekitar San Francisco dan California,” kongsinya.

Mengulas lanjut mengenai watak Li Yong, Joe berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah menjayakan adegan lasak seni bela diri memandangkan telah mempunyai asas dalam seni bela diri wushu dan kung fu.

Cabaran utama sepanjang menjalani penggambaran siri sebanyak 10 episod itu adalah penggunaan bahasa Inggeris serta dialek imigran China pada zaman berkenaan.

“Warrior adalah pengalaman pertama saya terbabit dengan sebuah naskhah yang sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Namun, cabaran sebenar adalah bertutur dalam bahasa Inggeris berserta dialek imigran China pada zaman berkenaan.

“Saya banyak melakukan rujukan dan menonton filem berkaitan untuk memastikan penyampaian dialog saya mirip dengan kumpulan imigran sekitar tahun 1880-an,” luahnya.

Pernah beberapa kali muncul dalam layar perak Hollywood menerusi filem Fast & Furious 6 dan Star Trek Beyond, penggambaran siri televisyen Warrior ternyata memberikan pengalaman yang berbeza.

Peluang bekerjasama di bawah pengarah yang berbeza digunakan sebaiknya oleh Joe untuk mempelajari ilmu seni Hollywood.

“Ini adalah kali pertama saya menjalani penggambaran dalam tempoh yang lama bersama produksi Hollywood. Sudah tentu pengalaman yang diperoleh amat berharga. Kami juga mula menganggap hubungan antara satu sama lain umpama keluarga berbanding rakan kerja semata-mata,” tuturnya.

Pengalaman

Mengimbau kenangan tatkala menjalani uji bakat watak berkenaan kira-kira tiga tahun lalu, Joe tidak melalui jalan mudah untuk merebut kedudukan sebagai tunggak utama dalam siri televisyen berkenaan.

“Watak ini dalam genggaman saya setelah menjalani proses uji bakat melalui panggilan video. Selepas proses uji bakat, saya menanti keputusan produksi.

“Akhirnya saya menerima jawapan kira-kira dua tahun yang lalu apabila terpilih sebagai sebahagian daripada pelakon dalam Warrior,” tuturnya.

Lumrah bergelar pelakon yang mencipta nama di persada dunia apatah lagi Hollywood, Joe sering ditebak soalan untuk membandingkan pengalaman bekerjasama antara produksi Hollywood dan tempatan.

Jati diri Joe sebagai rakyat Indonesia begitu utuh apabila dia mengambil pendekatan enggan membuat sebarang perbandingan.

Menganggap dirinya bertuah melalui pengalaman tersebut, Joe hanya berkongsi mengenai persamaan yang wujud dalam setiap produksi yang pernah disertainya.

“Setiap produksi akan memberikan pengalaman yang berbeza sama ada tempatan atau Hollywood. Persamaan mengenai mana-mana produksi adalah hubungan kekeluargaan yang dapat dijalinkan sepanjang kami menjayakan sesebuah naskhah,” tegasnya.

Sementara itu, ketika diminta memberi ulasan mengenai Warrior, dia berharap agar siri televisyen berkenaan mendapat sambutan daripada penonton.

Selorohnya, sebagai pelakon sudah tentu dia mengimpikan Warrior menjadi siri televisyen rantaian untuk musim seterusnya.

“Paling penting Warrior membawa jiwa Bruce Lee dan kami amat menghormati mendiang sebagai pelopor pelakon berwajah Asia dalam arena Hollywood. Warrior juga sarat dengan aksi, konflik dan kisah perjuangan yang boleh dihayati merentasi kepelbagaian ideologi dan kaum,” katanya.

Warrior adalah sebuah siri televisyen sentuhan Jonathan Tropper dan Justin Lin yang memulakan tayangan menerusi Cinemax bermula pada 5 April lalu.

Mengangkat genre drama, aksi dan seni bela diri, Warrior merupakan sebuah siri televisyen hasil cetusan idea Bruce Lee yang dikongsi anaknya iaitu Shannon Lee.

Post a Comment

Previous Post Next Post