Zul Ariffin Orang luar boleh fikir sendiri tentang hubungan kami




Zul Ariffin mengelak daripada mengesahkan status hubungannya dengan Tanya Glembotska (kanan).

Pelakon Zul Ariffin mengelak daripada mengesahkan status hubungannya dengan seorang wanita Ukraine yang pernah didakwa menjalin hubungan cinta dengannya sejak tahun lalu.

Wanita yang dikenali sebagai Tanya Glembotska itu juga didakwa telah dikahwini Zul, 33, ekoran tersebarnya beberapa keping gambar romantis mereka yang tular di media sosial sekitar Januari lalu.

Aktor filem J Revolusi itu sebaliknya menyifatkan khalayak dapat menilai kesahihan perkara tersebut dengan sendiri.

“Ia perkara normal bagi mana-mana orang untuk menjalin hubungan dengan sesiapa pun. Begitu juga saya. Tidak kiralah hubungan masa lalu, sekarang atau pada masa depan, semua itu normal.

“Lainlah kalau saya ada buat kerja jahat seperti merompak atau pukul orang, itu memang salah. Tetapi kalau saya ada keluar dan berkawan dengan mana-mana orang, itu biasalah.

“Kalau ditanya kepada saya sejauh mana hubungan kami, semua orang boleh fikir sendiri. Saya tidak akan beri apa-apa kenyataan sebab ia tidak membantu pun,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem Misteri Dilaila malam semalam.

Tambah pelakon filem Tombiruo itu lagi, dia tidak terkesan dengan segala gosip yang membabitkan dirinya kerana sudah terbiasa dengan keadaan sebegitu sejak mula menceburkan diri dalam industri.

Zul juga turut mengulas apabila ditanya tentang kecaman yang diterima Tanya selepas wanita itu dengan terbuka berkongsi gambar mereka di laman sosial.

“Sebagai pelakon saya sudah biasa dengan keadaan sebegini. Tahap ‘membawang’ orang Malaysia sangat hebat, jadi sekarang baru dia tahu rasa dia bagaimana.

“Biarpun saya berkawan dengannya, tetapi saya perlu bersikap neutral dalam hal ini sebab siapa suruh dia buat begitu. Dalam hal seperti ini, saya tidak bagi muka kepadanya,” katanya.

Terdahulu, hubungan Zul bersama Tanya mula dihidu selepas mereka memuat naik gambar berada di lokasi yang sama.

Ketika itu, Zul menjelaskan perkenalan dengan Tanya bermula sewaktu menjalani latihan seni mempertahankan diri muay Thai di Phuket, Thailand dan hanya berkawan biasa dengan wanita itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post