Rengekan si kecil yang sudah lebih dua bulan mengisi hari-hari ini pantas membuatkan Datin Elvina Mohamad bergegas arah suara yang mencelah dalam lunak alunan marhaban yang berlangsung di Shah Alam, Selangor hujung minggu lalu.
Beberapa detik kemudian, pelakon Teratai Kemboja itu kelihatan mendukung dan sesekali mengusap ubun-ubun bayinya, Karl Mateen. Malam berkenaan adalah hari istimewa buat si ibu muda, Elvina, 24, kerana pertama kali mengadakan majlis aqiqah dan kesyukuran buat anak sulungnya hasil pernikahan dengan Datuk Haniff Borhan pada 18 Mac tahun lalu.
Berkongsi fasa bahagia yang mengulit kehidupannya, Elvina yang mesra disapa sebagai Elle mengakui kehadiran, Karl Mateen merupakan anugerah terindah dalam hidupnya.
“Jujurnya, sepanjang proses bergelar ibu, saya tidak takut memikirkan soal kemampuan material untuk membesarkan anugerah Allah ini. Saya cuma khuatir sekiranya tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Kehadiran anak membuatkan saya lebih matang dalam pelbagai aspek dan sudah tentu pandangan saya mengenai kehidupan juga berubah,” luahnya bersulam senyuman.
Elvina berkata, menyaksikan wajah Karl saban hari dengan telatah membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk melalui hari yang mendatang.
Katanya, ada ketika dia sendiri tidak percaya pada suatu hari akan bergelar seorang ibu pada usia yang muda.
“Jika dahulu, saya masih bujang dan sering membuat keputusan tanpa memikirkan akibat terhadap diri. Kini saya bukan sahaja seorang isteri, malah sudah menjadi ibu.
“Setiap kali hendak membuat sebarang keputusan atau tindakan, saya kena fikirkan wajah anak dan maruah keluarga,” jelasnya yang menegaskan anak dan suami merupakan prioriti dalam kehidupannya kini.
Menyentuh mengenai kebahagiaan keluarga kecil Elvina, belum pun setahun melayari kehidupan rumah tangga, bahtera yang dibina sebenar sudah dilanda badai.
Wanita insurans
Lebih menyedihkan, Elvina terpaksa berhadapan gelora tersebut ketika masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan Karl pada Disember tahun lalu.
Gara-gara berang tindakan seorang penjual insurans yang didakwa cuba menjalinkan hubungan gelap dengan suaminya, Elvina membuat serangan secara terbuka terhadap wanita itu di laman Instagramnya.
Hampir dua bulan mengunci mulut, Elvina hanya tersenyum sinis tatkala mengimbau kembali saat genting yang dihadapi demi mempertahankan rumah tangganya daripada gangguan orang ketiga.
“Saya maafkan dia,” tutur Elvina seakan-akan enggan ada memori pahit kembali panas dalam kepalanya.
Tambahnya: “Diakui, ketika insiden itu berlaku saya dalam keadaan emosi yang tidak stabil. Tetapi, saya tidak meroyan dan masih berfikiran waras.
“Reaksi saya terhadap perkara itu adalah normal. Pada pendapat saya, semua wanita akan melakukan tindakan yang sama sekiranya sedar ada individu yang cuba mengganggu rumah tangga masing-masing.”
Kongsinya lagi, saat rumah tangganya diuji, wajah anaknya menjadi sumber kekuatan untuk bersabar.
Tidak ketinggalan, sokongan keluarga daripada kedua-dua belah pihak, sahabat dan pihak pengurusan memberikan menjadikan dirinya tenang melalui kontroversi berkenaan.
Demi memastikan kemanisan rumah tangga berkekalan, Elvina harus yakin, setiap ujian pasti disusuli hikmah yang tidak diketahui.
“Insiden itu tidak menjarakkan hubungan kami atau bermasam muka. Sebaliknya, kami lebih jujur antara satu sama lain dan tiada lagi rahsia antara saya dan suami,” katanya.
Kembali aktif
Hampir setahun berehat demi menumpukan perhatian terhadap keluarga, apatah lagi dengan kehadiran cahaya mata pertama, dalam diam Elvina bersiap sedia termasuk berusaha untuk mendapat berat badan ideal untuk kembali ke dunia lakonan.
Kali terakhir muncul di televisyen menerusi drama Isteri Untuk Diiktiraf, akui Elvina, dia mengamalkan diet ketat dan memakai bengkong sepanjang 44 hari tanpa gagal sepanjang berpantang untuk mendapatkan bentuk badan persis anak dara.
Bercerita tentang krier, anak matanya tidak mampu menyembunyikan kerinduan untuk beraksi di hadapan kamera.
“Saya rindu untuk kembali sibuk di set penggambaran. Rasanya sudah terlalu lama saya berehat. Apabila suami memberikan keizinan, saya semakin tidak sabar untuk kembali bekerja,” luahnya.
Tambahnya juga: “Berat badan saya ketika mengandung adalah 65 kilogram (kg), sekarang 49kg. Alhamdulillah, saya dapat semula berat badan dahulu,” katanya penuh gembira.
Biarpun mendapat izin daripada suami untuk berlakon, keizinan tersebut tidak menjadi tiket kepada Elvina untuk menerima sebarang watak tanpa berfikir panjang.
Menyandang status isteri dan ibu, amat penting bagi Elvina untuk menjaga hati suami supaya tidak terguris dengan watak yang bakal dijayakan.
“Sebenarnya, saya terbuka untuk menerima sebarang jenis watak atas dasar seni dan berkarya. Bagaimanapun jika terdapat watak yang perlu mendapatkan pendapat dan izin suami, saya dahulukan pendapat suami,” jelasnya yang bakal terbabit dalam pembikinan drama bersiri berajuk Geng Mak Mak untuk siaran Astro.
Naskhah yang akan menjalani penggambaran pada Mac depan tersebut menjadi drama pertama Elvina selepas bergelar ibu.
Duta
Kembali berceloteh mengenai permata sulungnya, penangan bergelar anak selebriti, Karl Mateen telah mendapat tawaran untuk menjadi wajah kempen atau produk susu.
Kata Elvina, perkara tersebut sudah dibincangkan bersama suami dan mereka memutuskan, belum tiba waktunya untuk Karl didedahkan ke dunia selebriti.
“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu Karl mengikut jejak langkah saya. Saya sudah biasa dikecam, saya tidak mahu anak pula menjadi mangsa kecaman netizen,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Karl kini mempunyai akaun Instagram yang diuruskan oleh suami. Tambahnya akaun Instagram tersebut hanya sebagai album peribadi dan tidak bertujuan untuk membuat keuntungan.
“Kalau ikutkan hati, saya tidak mahu Karl mempunyai sebarang akaun media sosial. Akaun Instagram itu didaftarkan oleh suami dan hanya berfungsi sebagai album anak,” ulasnya.
Pernah dihimpit kontroversi gangguan orang ketiga yang mencacatkan momen bahagia bersama suaminya Haniff Borhan, Elvina Mohamad kini mampu tersenyum lega. Hari-harinya ceria bersama keluarga dan anak yang semakin banyak keletah.