Ketika gambar-gambar intim pelakon Emma Maembong dan Syed Abdullah tersebar di internet, timbul tanda tanya mengenai status hubungan cintanya yang pernah terjalin bersama aktor Kamal Adli.
Tentu sahaja melihat Emma bersama abang kepada Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini, pasti ramai yang beranggapan hubungan cinta antara Emma dan Kamal telah lama berakhir.
Tambahan pula, baik Emma mahupun Kamal, masing-masing tidak pernah mengumumkan secara terbuka berkenaan status sebenar hubungan mereka.
Justeru, pertemuan bersama Kamal pada sidang akhbar Anugerah MeleTOP 2019 yang diadakan di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini, merungkai banyak perkara. Pelakon drama Jika Masih Ada Rindu itu pula tidak loket berkongsi suara hari.
Menurut Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, dia sendiri kurang pasti mengenai status hubungannya dengan Emma sebelum ini.
Namun, secara ringkasnya, lelaki berusia 33 tahun itu mengaku, telah kembali solo dan enggan masuk campur dengan hubungan cinta baharu Emma bersama Syed Abdullah.
Kamal, apakah status sebenar hubungan anda dengan Emma? Bilakah anda putus dengannya?
KAMAL: Sejujurnya, saya sendiri sukar untuk memberikan penjelasan memandangkan hubungan cinta saya dengan Emma ada pasang dan surut. Bagaimanapun, apa yang boleh saya katakan, walaupun saya sudah kembali solo, saya dan Emma masih berhubung secara baik.
Adakah anda terkejut apabila gambar-gambar intim Emma bersama Syed Abdullah tular?
Saya sebenarnya lebih terkejut bagaimana gambar-gambar tersebut boleh tersebar. Saya sendiri tertanya-tanya, apakah punca sebenar dan siapakah yang menyebarkan. Apa pun, penyebaran gambar sebegini merupakan perkara yang sangat tidak bagus. Saya rasa, apabila perkara sebegini berlaku, karier dalam bidang seni pasti terjejas.
Adakah nasihat anda untuk Emma?
Nasihat ini, saya tujukan untuk saya dan juga semua orang. Benar, semua orang melakukan kesilapan. Cuma, kesilapan Emma kali ini agak berat untuk dilalui. Saya tidak mahu campur tangan memandangkan saya orang luar. Saya cuma berharap agar dia berada dalam keadaan baik.
Keadaan Emma boleh diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas gambar-gambar intim tersebar, dia mencetuskan kontroversi apabila mengambil keputusan untuk membuka tudung. Sebagai orang yang pernah rapat dengannya, adakah anda ada bercakap dengan Emma tentang hal tersebut?
Saya tidak menghubunginya. Cuma, saya ada bertanya kepada orang yang rapat dengannya. Kalau boleh, saya tidak mahu nampak kelihatan seperti terlalu sibuk dengan hal orang lain, lagi pun kami sudah tidak mempunyai sebarang hubungan. Cukuplah sekadar saya meninggalkan komen positif pada salah satu gambarnya di Instagram.
Anda telah beberapa kali gagal dalam percintaan. Adakah anda mengambil pendekatan untuk tidak memikirkan soal cinta dalam masa terdekat?
Benar, mungkin saya patut berehat seketika daripada memikirkan soal cinta dan menumpukan perhatian pada karier dan keluarga.
Barangkali Allah juga belum mengizinkan saya berumah tangga agar saya dapat bekerja dengan lebih keras dan memperbaiki diri. Saya serahkan semuanya kepada Allah.
Boleh kongsikan tentang perkembangan terkini?
Buat masa ini, saya sedang menjalani penggambaran bagi drama bersiri terbaharu berjudul Setelah Terlafaznya Akad bersama Uqasha Senrose. Saya dan Uqasha turut membintangi sebuah telefilem berjudul Boyfriend Ku Dari... yang akan ditayangkan tidak lama lagi.