Anak Lana Nodin selamat jalani pembedahan




Lana (kanan) meluahkan rasa syukur apabila William selamat menjalani pembedahan akibat masalah injap jantung sempit (aortic stenosis) di IJN di sini semalam.

Pelakon Lana Nodin meluahkan rasa syukur apabila anak keduanya William Daud McKienzie yang berusia dua bulan selamat menjalani pembedahan akibat masalah injap jantung sempit (aortic stenosis) di Institut Jantung Negara (IJN) di sini semalam.

Lana, 40, menerusi Insta Storynya dilihat gagal mengawal emosi apabila diberitahu doktor anaknya selamat menjalani pembedahan dan tiada komplikasi jantung.

"Alhamdulillah anak saya selamat dan tiada komplikasi lain. Terima semua yang prihatin, anak saya selamat kerana doa-doa kalian.

"Pembedahan dilakukan dalam tempoh kurang sejam. Bagaimanapun sebelum pembedahan doktor memberitahu terdapat risiko yang sama untuk jantungnya terhenti ketika pembedahan seperti mana percubaan kali pertama sebelum ini.

"Namun, doktor kata anak saya kuat dan dia selamat. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang tidak henti memberi sokongan kepada saya," ujar Lana dalam Insta Storynya.

William menjalani pembedahan pada pukul 4.20 petang semalam. Selepas pembedahan dia ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum ditukarkan ke wad biasa hari ini.

Terdahulu, Lana berdepan detik cemas apabila jantung William terhenti selama 10 minit sebelum prosedur pembedahan dilakukan.

Pembedahan yang dinamakan prosedur ‘baloon valvuloplasty’ itu perlu dilakukan untuk mengelak anaknya mengalami jantung bengkak ketika meningkat dewasa.

Post a Comment

Previous Post Next Post