Yatt Hamzah tidak akan pernah berhenti daripada berkongsi mengenai kekejaman Israel di laman sosialnya. Foto Instagram @yatthamzah_suci
Pelakon Yatt Hamzah mendedahkan pengikutnya di Instagram berkurangan sebanyak 10,000 selepas dia berkongsi kisah kekejaman Israel.
Yatt berkata ini bukan kali pertama dia mengalami situasi tersebut malah dia pernah mendapat ugutan bunuh gara-gara lantang bersuara mengenai kezaliman rejim zionis itu di laman sosialnya.
"Semalam kongsi tentang kekejaman Israel dan beberapa jam lepas itu terus hilang 10,000 pengikut. Dulu pun sama, selalu kena macam ni. Siap kena godam dan hilang Instagram dan Facebook.
"Ugutan bunuh pun dah pernah dapat. Agak-agak angkara siapa? Tapi saya tak kisah. Saya tidak takut. Saya tidak akan berhenti," katanya dalam satu posting di Instagram.
Perkongsian Yatt di Instagram.
Dalam pada itu, Yatt berkata, dia juga tidak kisah dengan apa yang dilakukan terhadap laman sosialnya kerana dia tidak akan sesekali tunduk dan mengalah dalam menegakkan keadilan.
"Buanglah banyak mana pun pengikut saya. Ugutlah apa pun. Buatlah apa pun tapi saya tidak akan berhenti sampai kebenaran dan tegakkan keadilan.
"Kalau sampai saya hilang semua akaun sosial media tempat saya berkongsi rezeki dan ilmu ini sekali pun, saya takkan putus asa.
"Saya akan teruskan. Saya dah ada jawapan nanti di depan Allah. Saya sudah tunaikan kewajipan saya dan merekalah saksi-saksi saya. Selebihnya saya serah pada Dia," katanya.