REZEKI - Kali ini Nabil ke Mekah bersama isterinya secara percuma untuk menjalani penggambaran program Perjalanan Haji Nabil.
TIADA apa yang lebih istimewa buat pengacara dan pelawak terkenal Nabil Ahmad apabila sekali lagi dikurniakan rezeki untuk menunaikan umrah pada 10 malam terakhir Ramadan. Lebih mengujakan, kali ini Nabil tidak pergi sendirian, sebaliknya turut ditemani isteri, Nazira Ayub yang pertama kali ke tanah suci Mekah.
Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad, 33, yang ditemui pada majlis pelancaran filem Jurassic World versi bahasa Melayu baru-baru ini, dia berasa bertuah kerana dua tahun berturut-turut berpeluang menjejakkan kaki di tanah suci pada bulan Ramadan.
“Tahun lalu saya pergi sendirian juga pada 10 malam akhir dan pada tahun yang sama turut mendapat rezeki menunaikan haji. Alhamdulillah, tahun ini saya diberi rezeki lagi dan lebih istimewa dapat pergi bersama isteri. Memang saya teringin ke sana dan mengikut perancangan kami sepatutnya berada di Mekah pada awal Ramadan, tetapi mungkin sudah rezeki tiba-tiba rancangan itu diubah kepada 10 malam akhir,” kata Nabil.
Bagaimanapun pemergian Nabil dan isteri ke Mekah pada 26 Jun ini bukan untuk menunaikan umrah semata-mata, sebaliknya turut menjalani penggambaran program Perjalanan Haji Nabil yang akan ditayangkan di Astro pada Hari Raya Aidiladha depan. Meskipun begitu, Nabil menyifatkan penglibatan dalam program berkenaan sebagai rezeki terpijak kerana berpeluang menunaikan umrah buat kali kedua secara percuma.
Berdasarkan pengalamannya bukan mudah untuk mendapat tempat menunaikan umrah pada 10 malam terakhir Ramadan, selain harganya yang cukup mahal sehingga boleh mencecah RM20,000 seorang.
“Saya bersyukur sebab dapat peluang seperti ini, sambil bekerja dapat menunaikan ibadah umrah secara percuma. Seronok dan memang tidak sabar kerana rindukan suasana di Mekah. Jika boleh saya mahu jadikan aktiviti ke Mekah pada 10 malam terakhir Ramadan sebagai perkara rutin setiap tahun,” tuturnya.
Disebabkan pengalaman lalu, Nabil menjelaskan tidak banyak persediaan yang dilakukan selain melunaskan kerja sebelum ke sana kerana akan pulang sehari sebelum sambutan Aidilfitri. Namun, sebaliknya buat Nazirah yang diakui Nabil agak gementar untuk menunaikan umrah buat kali pertama.
“Nazirah harus hadiri kursus, tetapi saya katakan padanya tidak perlu terlalu bimbang. Saya sudah ada pengalaman, justeru akan membimbingnya juga. Apa yang penting niat kita hendak ke sana. Jika baik, semuanya akan berjalan lancar, Insya-Allah.
“Saya cuma sibuk sebelum bertolak ke Mekah sebab harus selesaikan semua kerja dan melakukan persiapan raya keluarga lebih awal. Kami akan pulang pada petang sebelum Aidilfitri, jadi apabila balik esok telah raya. Jika tidak buat persiapan awal memang tidak sempat,” katanya yang akan meninggalkan kedua-dua anaknya di bawah jagaan ibu mertua sepanjang berada di tanah suci.
Dalam pada itu, Nabil turut merancang untuk membawa keluarga termasuk anak-anaknya, Naera Mikayla, 4, dan Leyla Medyna, setahun tiga bulan ke Mekah pada tahun hadapan. Mengikut perancangan, dia mahu ke sana selepas musim haji kerana jemaah tidak terlalu ramai ketika itu.
“Saya memang merancang bawa isteri dan anak-anak buat umrah, mungkin pada tahun depan selepas musim haji kerana waktu itu orang tidak terlalu ramai. Bukan apa, saya fobia untuk bawa anak di tempat orang ramai. Jika pergi saya akan pasang beg bertali pada anak, biarlah orang mahu berkata apa sekalipun janji anak selamat,” tuturnya yang bimbang dengan lambakan kes penculikan sejak kebelakangan ini.
Nabil balik Perak
Berbicara tentang sambutan raya, jelas Nabil sebaik tiba di Malaysia dari Mekah, mereka akan menyambut Aidilfitri di kediaman mertuanya di Klang, Selangor terlebih dahulu sebelum bertolak ke kampung isteri di Sungai Siput, Perak pada raya kedua.
“Tahun ini saya mendahulukan keluarga sebelah isteri kerana semua kelengkapan raya diserahkan kepada ibu mertua sepanjang kami di Mekah. Selepas beraya di Perak, barulah saya akan bersama keluarga di Mambau, Negeri Sembilan pada raya ketiga,” ujarnya.
Sungguhpun teruja untuk meraikan Aidilfitri, terbit perasaan sedih dan sayu dalam hatinya kerana kesihatan ibunya, Rohaizah Abdul Latiff, 64, semakin merosot. Ibunya yang menghidap penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang, kini terpaksa menjalani proses dialisis tiga kali seminggu sejak sebulan lalu.
Justeru, sambutan Aidilfitri buat keluarga Nabil agak suram tahun ini memandangkan nadi kemeriahan raya iaitu ibunya sudah tidak sihat.
“Tahun ini agak sedih untuk keluarga saya kerana emak mengalami kegagalan kedua-dua buah pinggangnya sejak sebulan lalu dan harus melakukan proses dialisis mengikut jadual. Saya kasihan pada emak yang sudah tidak sihat. Jika sebelum ini, raya kami meriah dengan melawat saudara-mara, sekarang agak terhad kerana tidak boleh berjalan jauh.
“Kami adik-beradik harus memikirkan kesihatan emak yang perlu menjalani rawatan dialisis. Sekali rawatan akan memakan masa empat ke lima jam. Jadi, memang tidak boleh berjalan jauh, mungkin saudara-mara yang akan datang melawat emak,” cerita Nabil yang juga duta Jakel.
Luahnya lagi, setiap kali Aidilfitri ibunya merupakan orang paling sibuk, baik dari segi persiapan raya sehingga hidangan di atas meja. Namun, kali ini cukup berbeza kerana ibunya sudah tidak mempunyai kudrat seperti dahulu.
“Dulu kalau raya, boleh minta apa sahaja makanan yang diidamkan dan emak pasti akan memasaknya. Sekarang, agak terbatas. Emak memang rajin ke dapur, tetapi dengan tahap kesihatannya saya tidak akan membenarkan dia bersusah-susah. Biarlah dia berehat sahaja, lagipun emak harus menjaga makan kerana penyakitnya,” kata Nabil.
Beralih kepada kerjayanya, Nabil turut terlibat dalam filem Jurassic World versi bahasa Melayu yang akan ditayangkan sempena sambutan Aidilfitri pada 6 Julai depan di HBO (Astro 411/ 431).