Adira tunggu giliran raya bersama suami


ADIRA bersyukur berpeluang menyambut Ramadan dan menyediakan juadah berbuka puasa buat suaminya, Adenan.

JIKA dahulu keluarga menjadi tumpuan utama buat penyanyi kelahiran Ranau, Sabah pada setiap pagi lebaran namun, kini rutin Adira nyata berbeza pada tahun ini seiring statusnya sebagai isteri.

Wanita berusia 25 tahun itu kini bahagia menjalani ibadah puasa bersama suami tercinta, Adenan Abu.

Berpeluang menyediakan juadah berbuka puasa buat suami pada awal Ramadan lalu, Adira akan memastikan menu yang disediakan mengikut selera suami yang menggemari makanan pedas.

Bakal meraikan lebaran bersama keluarga di kampung halaman di Sabah, Adira tetap tidak sabar menanti kehadiran suami di sisi untuk bersama-sama bermaafan sekali gus menghabiskan masa bersama.

BULETIN MALAYSIA!: Selamat menyambut Ramadan. Bolehkah Adira kongsikan serba sedikit tentang rutin harian sepanjang bulan puasa?

ADIRA: Selamat berpuasa juga kepada semua. Saya menjalani ibadah puasa seperti biasa dan tidak ada sebarang perbezaan melainkan status sekarang yang kini bergelar isteri.

Bagaimanakah perasaan anda apabila Ramadan kali ini disambut bersama suami berbanding dahulu?

Saya berasa bersyukur kerana diberi kesempatan untuk meraikan Ramadan buat pertama kali bersama suami. Rutinnya tetap sama, cuma membezakan dahulu berbuka dan bersahur bersama ahli keluarga tetapi kini bersama suami. Aktiviti seni dikurangkan kerana ingin memberi lebih masa pada diri sendiri dan suami.

Adakah anda akan mengurangkan aktiviti seni pada setiap Ramadan?

Ya kerana itu bukan sahaja dapat memberi ruang dan lebih masa untuk berehat. Tambahan kini telah bersuami, pastinya tanggungjawab itu lebih berbanding dahulu. Sebelum ini saya memastikan jadual kerja itu dikurangkan kerana ingin membantu ahli keluarga di kampung menyediakan kelengkapan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Apakah hidangan istimewa yang anda hasilkan buat santapan suami sepanjang menjalani ibadah puasa ini?

Dia (Adenan) terlalu cerewet dalam soal makanan. Tetapi setiap kali berbuka saya akan memastikan menu masakan pedas kerana merupakan kegemarannya. Sepanjang Ramadan, saya dan suami sering bersahur di kedai manakala juadah berbuka pula sering dibeli di bazar Ramadan. Bukan bermaksud malas tetapi saya masih dalam peringkat mempelajari teknik dan cara masakan menu dari Semenanjung.

Buat masa sekarang, menu apakah yang anda telah mahir dalam soal penyediaannya?

Buat masa sekarang saya hanya mahir menyediakan menu kegemaran sendiri seperti ketam masak lemak cili api. Bagaimanapun usah bimbang, saya tetap akan berusaha mempelajari selok-belok penyediaan masakan buat suami tercinta.

Menghampiri sambutan Aidilfitri, adakah anda bakal meraikan Syawal yang pertama bersama suami?

Insya-Allah jika tiada aral saya akan pulang ke kampung di Ranau, Sabah dan menyambut Syawal pertama bersama keluarga memandangkan suami akan beraya dengan isteri pertamanya dahulu. Kemudian dia akan menyusul berhari raya bersama saya pada hari yang berikutnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post