Ameng alun al-Quran dalam HASA 1.0


Ameng akan memperdengarkan alunan bacaan al-Quran pada majlis HASA 1.0 pada 27 Jun ini.

Meraikan Ramadan yang mulia, Usrah Fitrah (UF) yang merupakan sebuah NGO gabungan penggiat seni tanah air dan media akan menganjurkan Himpunan Artis Sayang al-Quran 1.0 (HASA 1.0) pada 27 Jun ini di Grand Ballroom, Menara Felda Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

UF yang ditubuhkan hampir lima tahun bergiat aktif sebagai medium pembelajaran agama dan aktiviti kemasyarakatan dalam kalangan ahli telah menganjurkan pelbagai aktiviti bagi memantapkan jati diri dan ilmu yang dipelajari. HASA 1.0 merupakan sebuah program yang menghimpunkan barisan artis dan selebriti tanah air dalam sebuah program Ramadan yang mengangkat keistimewaan al-Quran.

“Sebagai serampang dua mata, HASA 1.0 akan memberikan pendidikan kerohanian dan ruang kepada golongan sasaran agar mengenali al-Quran lebih dekat sekali gus menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. HASA 1.0 juga diharapkan dapat mengubah persepsi masyarakat berhubung peribadi artis sekali gus menjadikan mereka model terbaik bagi mendidik masyarakat khususnya golongan belia,” ujar Biro Perhubungan UF, Heliza Helmi.

HASA 1.0 juga akan bertindak sebagai medium penampilan pertama Ameng Spring di dalam industri hiburan setelah berehat hampir tujuh tahun. Pada petang itu Ameng akan mengalunkan al-Quran daripada surah pilihan bersama-sama dengan peserta lain.

Qari yang telah memenangi beberapa pertandingan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa telah mengesahkan penyertaan ialah Abdul Khair Jalil dan Ahmad Tirmizi Abas. Selain Ameng, artis yang turut membuat persembahan merupakan Heliza Helmi, Johan Asha’ari, Yatt Hamzah dan Salima Habibi.

Setakat ini HASA 1.0 telah berjaya mengesahkan kehadiran selebriti seperti Diana Amir, Afdlin Shauki, Shamsul Yusof dan Noh Salleh. Menyasarkan 300 artis seluruh tanah air, HASA 1.0 diharap dapat menghimpunkan penggiat seni daripada pelbagai kumpulan dan usia bagi menjadikan program ini mencapai objektif sebenar. Untuk keterangan lanjut, hubungi Shah Rizal Mashur di talian 013-918 3995.

Post a Comment

Previous Post Next Post