Ella pukau hampir 8,000 penonton


SEMPURNA. Mungkin itulah perkataan yang dapat menggambarkan suasana Konsert Ella 2016 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor malam kelmarin.

Ella atau nama penuhnya, Norzila Aminuddin tampil bertenaga dikelilingi barisan pemuzik handalan yang secara tidak langsung menyuntik aura tambahan sepanjang konsert berlangsung.

Pada usia 50 tahun, ratu rock negara itu tidak lagi selincah dahulu, namun pemilihan Man Kidal sebagai pengarah muzik ternyata satu keputusan yang tepat.

Pujian harus diberikan kepada Man Kidal kerana berjaya menjadikan konsert berkenaan sempurna tanpa meninggalkan cacat dan cela dari aspek susunan pentas, sistem bunyi dan segala-galanya.

Petikan gitar ahli kumpulan rock, Lefthanded yang ‘berhantu’ itu turut memukau kehadiran kira-kira 8,000 penonton yang rata-ratanya memakai baju berwarna putih sebagai simbolik kepada mesej memerangi gejala dadah yang diperjuangkan Ella.

Turut beraksi cemerlang ialah Fly (pemain bass), Ridz (pemain gitar), Roza Rio (pemain keyboard) dan Ujang (pemain dram).

Seperti yang dijanjikan, Ella melakukan beberapa kejutan pada konsert berskala besar sempena meraikan ulang tahun ke-30 pembabitannya dalam bidang seni.

Selain penampilan istimewa bersama suami, Azhar Husaini Ghazali yang bermain gitar ketika Ella mendendangkan lagu Cinta Berakhir dan Dua Insan Bercinta, pasangan itu turut berduet untuk mengalunkan lagu Mendung Tak Bererti Hujan yang dipopularkan bersama Deddy Dores dalam album Unggul 1993.



Kebahagiaan jelas terpancar daripada riak wajah pasangan yang diijabkabulkan pada 7 Julai 2012 itu, terutamanya ketika Azhar yang bertugas sebagai juruterbang Firefly mencium dahi Ella usai lagu Dua Insan Bercinta.

Namun, anak seni kelahiran Gelugor, Pulau Pinang yang dibesarkan di Klang, Selangor itu melakukan kejutan paling besar apabila menampilkan barisan ‘hero gitar’ yang membariskan enam gitaris terbaik terdiri daripada Man Kidal sendiri, Lord The Boys, Joey Wings, Edrie Hashim, Hillary Ang dan Kyoji Yamamoto dari Jepun.

Tepat pukul 9 malam, stadium tertutup yang hingar-bingar dengan suara penonton itu diceriakan dengan keletah dua pelawak tanah air, Abam Bocey dan Ali Putih.

Penyanyi wanita muda, Kaka Azraff yang juga anak saudara Ella diberi penghargaan membuka tirai pada konsert itu apabila muncul mendendangkan lagu hitnya, Bukan Hal Aku sebelum mengalunkan lagu Standing In The Eyes Of The World.

Sebaik Kaka mengundur diri, Bunkface pula menguasai pentas menyampaikan dua hit mereka, Malam Ini Kita Punya dan Darah Muda.

Pentas sekali lagi dimeriahkan oleh Abam dan Ali Putih sebelum gimik Ella dan suaminya, menaiki helikopter menghiasi skrin besar di atas, kiri dan kanan pentas.


PENUH: Setelah hampir 20 tahun tanpa konsert berskala besar, Konsert Ella 2016 di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu dibanjiri ribuan peminat yang merindui Ella selama ini.

Tepat pukul 9.30 malam, kelibat Ella yang yang berpakaian serba putih muncul meredakan penantian penonton mengalunkan lagu Permata Biru daripada album Pengemis Cinta 1989 diiringi sentuhan muzik daripada Man Kidal, Fly, Ridz, Roza Rio dan Ujang.

Ella kemudiannya mendendangkan tiga buah lagi lagu iaitu Justeru, Bendera Damai dan Pengemis Cinta sebelum menjemput tetamu istimewa, Lokman Idris atau nama samarannya, Lord yang merupakan ketua kumpulan The Boys.

“Insan ini sangat istimewa. Beliau orang yang bertanggungjawab memperkenalkan saya ke dunia hiburan. Tanpa beliau, saya tidak akan berdiri di sini hari ini,” lontar Ella.

Meskipun sudah berusia, petikan gitar Lord nyata berbisa ketika dua buah lagu yang pernah dipopularkan Ella & The Boys sekitar 1980-an, Cinta Berakhir dan Dua Insan Bercinta bergema di stadium berkenaan.

Ella yang sudah 30 tahun bergelumang dalam dunia seni tidak berdepan masalah untuk berinteraksi dengan para penonton sepanjang meneruskan persembahan dengan lagu-lagu seperti Layar Impian, Cinta Selembut Sutera, Pergilah Sayang, Kasih, Mungkin dan Mendung Tak Bererti Hujan.

Jika lagu Mendung Tak Bererti Hujan menyaksikan Ella berduet dengan suaminya, lagu Pergilah Sayang pula merupakan penampilan khas Ella bersama adik lelakinya, Korie.

Tiba-tiba sahaja penonton seakan-akan ‘dirasuk’ apabila alunan bunyi muzik keras hasil petikan gitar enam pemain gitar terbaik negara, Man Kidal, Lord, Joey Wings, Edrie Hashim, Hillary Ang dan Ridz yang menyampaikan lagu instrumental, Belenggu. Persembahan diteruskan dengan lagu Penawar nyanyian Ella bersama petikan gitar solo Edrie Hashim dan Nuri (Joey Wings).

Para penonton sekali lagi disajikan dengan persembahan mantap Ella bergandingan dengan insan yang pernah bekerjasama ketika menjayakan album Ella USA (1994), gitaris Kyoji Yamamoto.

Keletah Kyoji yang cuba berbahasa Melayu untuk berinteraksi dengan penonton berjaya mencuit hati ketika Ella menyampaikan lagu Permata Pemotong Permata (P.P.P) sebelum malam gemilang tersebut berlanjutan dengan lagu Rindu yang disampaikan secara akustik.

Seperti tidak puas beraksi, Kyoji sekali lagi menerjah pentas untuk menjayakan lagu Kitalah Bintang selepas Ella mendendangkan lagu Demi, Menanti dan Sembilu.

Gitaris Hillary Ang pula memarakkan pentas semasa Sepi Sekuntum Mawar Merah berkumandang daripada bibir Ella.

Pesanan


27 buah lagu: Dalam keadaan kurang sihat, Ella berjaya menghiburkan penonton konsertnya dengan 27 buah lagu hit termasuk Belenggu yang disampaikan secara instrumental oleh barisan ‘gitar hero’. Kesempurnaan konsert Ella boleh dikatakan hasil gandingan pemuzik hebat.

Sebelum meneruskan persembahan, Ella sempat menitipkan pesanan buat penonton: “Hidup ini biarlah bersih, jauh daripada dadah.”

Sebagai tanda penghargaan juga, Ella, Fly dan Ujang turut diberi peluang membuat persembahan solo, sekali gus berjaya menawan hati para penonton.

Ella melengkapkan malam penuh gemilang itu dengan menyampaikan lagu Gelora, Kesal, Tiada Tangis Lagi dan Gemilang, sekali gus menyempurnakan kesemua 27 lagu (termasuk sebuah lagu instrumental, Belenggu) seperti mana yang dijanjikan sebelum ini.

Persembahan yang berakhir pada pukul 12.30 pagi itu ternyata meninggalkan 1001 kenangan kepada peminat yang sentiasa menyokong Ella sepanjang 30 tahun dalam industri muzik tanah air.

Sekurang-kurangnya, Konsert Ella 2016 berjaya mengubat rindu pada peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia selepas 20 tahun tanpa sebarang konsert berskala besar.

Post a Comment

Previous Post Next Post