Nabil Ahmad elak sentuh bukan muhrim


SELEPAS menunaikan ibadat haji tahun lalu, Nabil Ahmad menjaga batas pergaulan dengan wanita bukan muhrim. Dia juga kerap diundang memberi ceramah mengajak golongan muda ke arah kebaikan.

SEJAK kebelakangan ini, pelawak terkenal, Nabil Ahmad mengakui lebih memberi fokus kepada bidang pengacaraan berbanding lakonan. Situasi tersebut berlaku selepas dia pulang mengerjakan haji tahun lalu.

Menurut Nabil, berpuluh-puluh tawaran lakonan filem, drama rantaian dan telefilem yang datang terpaksa ditolaknya kerana mahu berpegang kepada prinsip enggan bersentuhan dengan wanita bukan muhrim.

Bukan hendak tunjuk baik atau alim, namun bapa kepada dua orang anak itu menjelaskan, selain menjaga batas pergaulan, komitmennya sebagai pengacara tidak mengizinkan dia berlakon.

Sejak menunaikan haji, Nabil juga lebih mengutamakan perkara yang berlandaskan syariat Islam. Dia bagaimanapun tidak mahu perubahan kecil yang dilakukan secara perlahan-lahan kini akan menjauhkan dirinya daripada peminat.

Sebaliknya, pengacara program MeleTOP itu masih mahu dikenali sebagai Nabil yang sama, iaitu mudah didekati.

Nabil juga sempat berkongsi mengenai hobi terbaharunya iaitu menulis skrip dan penglibatan menerusi pementasan Lawak Ke Der 2016 yang bakal berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 sehingga 8 Mei nanti.



BULETINMALAYSIA!: Apakah perasaan anda apabila dipilih sebagai pengacara pementasan Lawak Ke Der 2016?

NABIL: Alhamdulillah, ini kali keempat saya diberi kepercayaan untuk menjadi pengacara Lawak Ke Der. Walaupun hanya pengacara, saya juga harus membuat lawak dan agak tertekan sebab sehingga sekarang belum dapat idea untuk skrip. Tugas sebagai pengacara Lawak Ke Der memerlukan saya muncul sebelum pelawak buat persembahan. Jadi, skrip harus ada kesinambungan dengan persembahan pelawak. Selagi tidak tahu isi kandungan lawak mereka, selagi itulah saya tidak boleh tulis skrip penuh.

Bagaimanakah dengan haluan perjalanan kerjaya anda pada tahun ini?

Tahun ini rezeki lebih terarah dalam bidang pengacaraan. Selain program MeleTOP, saya juga mengacarakan Ceria Pop Star, Gegar Vaganza musim kedua dan akan datang rancangan baharu Tafsir Mimpi serta Perjalanan Haji Nabil menerusi Astro Oasis.

Bagaimanapun, program Perjalanan Haji Nabil masih dalam peringkat perbincangan, kalau jadi, berkemungkinan besar saya dan isteri, Nazirah Ayub akan berangkat ke Mekah pada 10 Ramadan terakhir.

Ia berkisar tentang pengalaman saya mengerjakan haji dan memang teruja andai dapat ke Mekah sekali lagi. Sebab sambil buat penggambaran, saya dapat menunaikan umrah bersama isteri.

Difahamkan anda banyak menolak tawaran pada tahun ini, apakah alasan tindakan sebegitu dibuat?

Tahun ini saya langsung tidak ambil sebarang tawaran lakonan. Saya minta maaf kepada penerbit dan pengarah yang memberi tawaran. Lakonan memakan masa yang panjang di lokasi penggambaran, sedangkan saya mempunyai banyak komitmen lain. Selain itu, sejak pulang daripada menunaikan haji, orang lihat saya sama sahaja, tidak berubah. Orang tidak tahu perubahan yang cuba saya lakukan perlahan-lahan seperti mengelak bersalaman dengan wanita bukan muhrim.

Itu juga antara sebab saya menolak tawaran lakonan. Apabila mendapat skrip, saya sudah tahu ada adegan pegang tangan atau peluk. Daripada menyusahkan produksi, lebih baik saya tolak. Pengacaraan tidak memerlukan saya peluk orang, sebaliknya hanya perlu bercakap.

Maknanya anda semakin berubah ke arah perkara yang lebih Islamik?

Selepas mengerjakan haji, saya masih bekerja dalam industri seni. Saya tidak mahu hanya kerana gelaran haji, ada orang berasa terasing. Sebaliknya, saya mahu kekal dengan identiti lama Nabil, seorang yang mudah didekati ramai.

Meskipun begitu, setiap hari saya cuba berubah menjadi insan yang lebih baik dan istiqamah dalam apa juga ibadat. Selain mengacara, saya juga dijemput memberi ceramah kepada orang ramai. Namun, ceramah saya bukan seperti ustaz kerana sedar tahap ilmu agama bukanlah tinggi. Ceramah saya lebih bersifat perkongsian pengalaman sahaja.

Alhamdulillah, apabila saya muncul dalam ceramah agama lebih ramai golongan muda turut serta. Disebabkan respons menggalakkan dan atas tujuan yang baik, saya menerima jemputan tersebut dan menganggap sebagai salah satu cara dakwah.

Khabarnya anda juga ada membikin skrip filem, boleh jelaskan?

Ya, memang benar, menulis skrip filem merupakan hobi terbaharu saya. Disebabkan tidak pandai menggunakan komputer saya sanggup beli mesin taip.

Mulanya, saya memang teruja dan menjangkakan skrip akan siap penghujung tahun ini, namun selepas mula menulis, rasanya saya perlukan masa sekitar dua atau tiga tahun barulah skrip tersebut akan siap kerana idea tenggelam timbul (ketawa).

Menariknya, apabila dibentangkan skrip kepada pengarah Polis Evo, Ghaz Abu Bakar, dia berminat dan nampak gambaran penulisan saya.

Apa pun skrip filem yang bergenre aksi komedi itu masih dalam peringkat penulisan lagi. Andai skrip siap, saya tidak melihat diri sendiri sebagai pelakon utama filem saya nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post