Harapan vokal harmoni kumpulan Back2Basixx


Back2basixx dianggotai empat anggota iaitu (berdiri dari kiri) Brendan, Christian, Daryll, Devo (duduk di kerusi) dan Kyle (duduk di depan).

AGAK lama industri muzik tempatan tidak disajikan kelunakan vokal harmoni penyanyi berkumpulan lelaki seperti yang pernah disaksikan daripada Ruffedge dan V.E sekitar awal tahun 2000.

Terdahulu, kumpulan seperti KRU dan Innuendo turut pernah mencipta fenomena tersendiri apabila setiap lagu yang dinyanyikan mereka menjadi siulan khalayak.

Menjadikan kumpulan vokal harmoni terulung antarabangsa, Boyz II Men sebagai idola, sebuah kumpulan baharu, Back2Basixx tampil dengan harapan mahu memeriahkan industri muzik tanah air dengan kelahiran lagu single perdana berjudul Senyuman.

Dianggotai lima jejaka yang mempunyai minat dan misi besar dalam bidang muzik iaitu Chris Theseira, Brendan BSlique, Devon, Daryll dan Kyle G, kumpulan yang mula ditubuhkan sekitar 2014 itu berpegang pada visi tinggi iaitu mahu mengembalikan zaman kegemilangan kumpulan vokal harmoni lelaki di Malaysia.

Menyedari peredaran industri kini lebih tertumpu kepada muzik atau bunyian moden, mewakili kumpulannya, Chris tidak menyangkal, bukan mudah untuk memenangi hati pendengar yang majoritinya lebih terdedah kepada muzik yang rancak seperti elektronic dance music (EDM).

“Kami percaya muzik seperti fesyen. Ia mengalami peredaran. Lama-kelamaan, saya yakin fenomena kumpulan vokal harmoni atau boy band akan kembali seperti dahulu,” ujar Chris.



Bahasa Melayu

Walaupun kesemua anggota kumpulan bukan berbangsa Melayu, situasi tersebut bukan menjadi alasan buat mereka untuk tidak menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu.

Kata Devon: “Bagi saya, bukan menjadi masalah buat kami berlima untuk menyanyikan lagu berbahasa Melayu.

“Apa pun, kami semua sangat teruja ingin terus memperjuangkan lagu berbahasa Melayu kerana kami rasa ia bahasa yang indah dan apabila mendengarnya, ia meresapi jiwa anak Malaysia setiap seorang daripada kami.”

Bercerita mengenai single berjudul Senyuman, lagu berkenaan merupakan hasil gabungan idea setiap anggota kumpulan. Mereka berkorban masa dan wang ringgit demi merealisasikan impian bergelar penyanyi.

“Setiap seorang daripada kami menyumbang idea dalam penghasilan single berkenaan tetapi yang menjadi penyelaras adalah Kyle yang berbakat dalam bidang penulisan lagu.

“Saya boleh simpulkan bahawa walaupun masing-masing sudah mempunyai kerjaya tetap tetapi demi kecintaan terhadap muzik, kami gagahkan diri berkumpul dan menubuhkan kumpulan ini,” ujar Chris pula.

Dalam perkembangan sama, Back2Basixx juga mempunyai perancangan untuk tampil dengan sebuah album studio pada tahun ini.

“Setakat ini sudah ada beberapa lagu untuk dimuatkan ke dalam album tersebut. Antaranya, Sayangku dan Bujang Lapok 2.0.

“Album berkenaan juga akan mengandungi empat buah lagu bahasa Melayu dan dua buah lagu bahasa Inggeris,” tutur Daryll yang juga merupakan sepupu kepada Chris dan Kyle.

Bukan mudah untuk mencapai keserasian terutama apabila masing-masing sudah mempunyai pekerjaan tetap. Biarpun begitu, perkara tersebut tidak menjadi penghalang buat Back2Basixx untuk terus kekal bersama.

“Dalam kalangan kami, ada yang bekerja sebagai guru, usahawan, ahli psikiatri dan guru vokal. Namun, muzik terlalu kuat dalam setiap diri kami sehingga membuatkan kami memutuskan untuk berkecimpung dalam bidang ini.

“Setakat ini, sudah banyak persembahan pentas dijayakan. Apabila melakukan persembahan, kami bukan sekadar menyanyi tetapi berkongsi cerita dan berjenaka dengan hadirin. Itu cara kami berkongsi muzik dengan orang ramai,” jelas Kyle.

Post a Comment

Previous Post Next Post