Sarah (Mentor Legend) Belum Sedia Bercinta Kerana 15 Beradik


Sarah tolak tepi soal cinta kerana ingin membantu ibu bapanya memperbaiki ekonomi keluarga mereka terlebih dahulu.

Penyanyi kelahiran program realiti Mentor Legend, Sarah belum bersedia untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki kerana ingin melunaskan tanggungjawab terhadap keluarganya terlebih dahulu.

Sarah atau nama sebenarnya Maishara Fazny Mahadzir, 21, berkata, dia ingin meringankan beban kedua ibu bapanya kerana bukan berasal dari keluarga senang selain ingin membalas jasa mereka yang telah bersusah payah menanggung kehidupan mereka 15 beradik.

"Ramai yang ingin mendekati tetapi saya belum bersedia dan terpaksa menolak kerana ingin memberi fokus membantu stabilkan ekonomi keluarga terlebih dahulu.

"Saya bukan datang dari keluarga senang dan mempunyai 15 orang adik-beradik, jadi saya perlu utamakan mereka berbanding perkara lain," katanya kepada Buletin Malaysia.


Sarah bakal tampil dengan single terbaharu dalam masa terdekat.

Menurut protege kepada Dayang Nurfaizah ini lagi, dia tidak kisah pandangan orang lain yang menganggap dia sebagai anti-sosial kerana paling penting dapat membantu keluarganya.

"Saya tak kisah jika ada yang kata saya anti sosial kerana sejak dahulu lagi saya banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

"Banyak yang kami lalui bersama tidak kira sukar atau pun senang dan saya tetap akan memilih mereka berbanding perkara lain," ujarnya.

Bercakap mengenai karier seninya, Sarah mengakui bukan mudah untuk dirinya mencipta nama sebagai penyanyi dan masih belum boleh berasa selesa dengan apa dicapai ketika ini.

Bagaimanapun kata Sarah, dia lega apabila pihak Indigital Music sedia membantu menguruskan hal ehwal promosi dan kerjaya seninya termasuk bakal melahirkan single keduanya bersama syarikat itu pada masa terdekat ini.

"Apabila Indigital Music menyuarakan hasrat untuk membantu saya lega kerana syarikat berkenaan banyak membantu menaikkan nama ramai artis termasuk mentor saya sendiri, Dayang Nurfaizah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sarah bersama adik-beradiknya turut mengusahakan perniagaan secara atas talian dengan menjual biskut raya yang dihasilkannya sendiri.

Kata Sarah, perniagaan itu telah menjadi rutin buat mereka dari dahulu lagi bagi mencari pendapatan sampingan sejak dulu demi mencari pendapatan sampingan.

Antara biskut raya yang sering ditempah ialah Choc Chip Raya Cookies by Sarah Fazny dan ia boleh dilihat menerusi laman Instagramnya iaitu @sarahfaznyofficial.

Post a Comment

Previous Post Next Post