BERAT - Kerap membawakan watak komedi, Sherry memasang impian untuk memegang watak berat yang memerlukan permainan emosi dan air mata.
BERADA dekat dengan wanita bernama Sherry Alhadad boleh diumpamakan seperti mendekati sebuah kotak kaca yang berisi mesin memproses bertih jagung. Bunyi letusan bersulam hangat dan harumnya ketulan-ketulan berona putih kuning tersebut jelas menggambar personalitinya yang lucu, bersahaja namun penuh warna-warni.
Pesona leluconnya yang mungkin tidak ada pada pelakon lain bukanlah sengaja dibuat-buat. Secara lahiriah, pemilik nama sebenar Shariffah Mariam Syed Abdullah Alhadad itu sememangnya seorang individu ceria, sehingga mampu mendebungakan putik senang hati dalam diri setiap indivisu yang mengenalinya.
“Nak saya pose seperti Tuti?” tanya Sherry spontan, sambil merujuk kepada gaya signatur peserta program realiti Asia’s Next Top Model musim keempat itu. Tanpa dipinta, seluruh isi Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur berderai tawa menyebabkan lokasi sesi fotografi tempoh hari bertukar menjadi hingar-bingar.
Sisi komedi Sherry di layar kaca mungkin dipengaruhi realiti hidupnya sebagai seorang yang penuh dengan sifat kelucuan. Namun, dalam jiwa besarnya, wanita berusia 32 tahun itu masih enggan meninggalkan pentas teater yang dianggap banyak memberikan tunjuk ajar sepanjang bergelar pelaku seni.
“Hidup dan mati saya sebagai seorang anak seni hanya di atas pentas teater. Di situlah saya ‘dilahirkan’ dan diasuh mengenali dunia lakonan.
“Saya mungkin kerap dilihat berlakon dalam drama komersial tetapi untuk meninggalkan dunia teater, tidak sama sekali,” ujar Sherry yang menetapkan kuota, sekurang-kurangnya sebuah teater dijayakan dalam masa setahun.
Sherry memulakan langkah seninya sebagai pelakon pentas bangsawan menerusi teater Atap Genting Atap Rumbia arahan Datin Marlia Musa pada 2004.
Dia kemudia melebarkan sayap menerusi teater komersial Mak Dara Nyonya (2011) dan Nyonya & The Gang (2012) sebelum dipilih untuk membintangi kembali teater pecah panggung Asrama-Ra All Stars (2014).
Menurut Sherry, peluang untuk penggiat teater tempatan berkarya secara berterusan tidak sebesar seperti situasi di luar negara.
Aktiviti teater yang skalanya agak terpencil menyebabkan ramai pelakon teater memasuki lakonan komersial untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Kuala Lumpur bukan seperti West End di London, England. Di sana, banyak naskhah teater dipersembahkan, termasuklah pementasan yang dijalankan sepanjang tahun menerusi muzikal dan broadway.
“Biarpun sumber pendapatan saya sekarang tertumpu pada bidang lakonan televisyen dan pengacaraan, namun saya tetap mengemudi karier sebagai pelakon teater,” katanya yang bakal muncul dengan edisi baharu Projek Disko Baldi yang dijadualkan berlangsung di PJ Live Arts, Petaling Jaya, Selangor pada Oktober nanti.
Bukan metod
Bercerita mengenai perjalanan seninya, pemegang Ijazah Seni Persembahan daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu pernah ragu-ragu saat mahu meneruskan minat dalam bidang lakonan komersial kerana penampilan dan saiz badannya.
Rasa ragu-ragu itu hilang tatkala dia diberi peluang melakonkan watak Yam dalam telefilem Sutun 2 yang pernah mencetuskan fenomena sekitar 10 tahun lalu.
“Apabila melihat dari segi fizikal, rasa rendah diri itu ada. Maklumlah, industri komersial memerlukan pelakon berwajah cantik dengan penampilan menarik.
“Apabila saya berlakon Sutun 2 dan beberapa lagi drama bersiri dan telefilem lain, khalayak mula menerima bakat berbanding rupa. Selepas berjaya memecahkan tembok klise tersebut, keyakinan saya bertambah,” yang masih dikenali menerusi wataknya dalam Sutun 2 iaitu Yam.
Transisi Sherry daripada teater ke layar kaca tidak menjadikannya seorang aktres yang mengemudi karier berdasarkan teori sehingga dikenali sebagai pelakon metod.
“Mungkin sesetengah pelakon terlalu menjiwai watak sehingga terbawa-bawa ke luar set penggambaran.
“Apa yang penting ialah logik akal. Melakonkan watak memerlukan perancangan tentang apa yang dilihat dan dirasa. Tidak perlu mengurungkan diri dalam bilik semata-mata mahu menghayati watak,” tuturnya berseloroh.
Tidak memilih
Dalam rancak bercerita tentang perjalanan seni, Sherry turut berkongsi mengenai peranan kecil yang diterima menerusi filem usaha sama Malaysia-Indonesia iaitu My Stupid Boss.
Dia tidak menyangka akan berpeluang melibatkan diri dalam naskhah berskala besar yang diterajui Reza Rahadian, Bunga Citra Lestari, Bront Palarae dan Chew Kinwah itu.
“Produksi tersebut memerlukan pelakon Malaysia bagi memegang watak kecil bernama Azizah. Bront menghubungi saya memberitahu hal berkenaan.
“Walaupun terlibat dalam tiga babak sahaja, saya sudah cukup berpuas hati,” katanya.
Mengakui tidak memilih dalam berkarya, Sherry berkata, setiap peluang yang diberi perlu dilunaskan dengan baik agar impaknya dapat dirasai.
“Walaupun sekecil-kecil watak, saya sentiasa memberikan yang terbaik. Saya tidak mahu selektif jika apa yang diberikan tidak mampu mencapai piawaian.
“Biarlah memegang watak sebagai orang gaji tetapi biarlah meninggalkan kesan di jiwa penonton,” ujarnya.
Ahli Mesyuarat Tingkap
Melanjutkan bicara mengenai perkembangan terbaharunya, Sherry kini muncul dalam sebuah drama bersiri komedi berjudul Ahli Mesyuarat Tingkap.
Bakal melabuhkan siarannya pada hari ini, drama yang disiarkan menerusi slot Iris setiap Isnin hingga Khamis pukul 6.30 petang itu turut menampilkan Rita Rudaini dan Izreen Azminda.
Melabelkan Ahli Mesyuarat Tingkap sebagai sebuah naskhah yang menghiburkan, Sherry yang memegang watak sebagai Ira berkata, drama tersebut tidak menampilkan episod berantai.
Sebaliknya, setiap episod yang ditayangkan menampilkan jalan cerita dan plot berbeza.
“Seperti format sitkom, drama bersiri ini masih mengekalkan jalinan watak yang sama tetapi tidak dirakamkan di dalam studio di hadapan penonton,” ujarnya.
Ditanya mengenai interaksi antara mereka bertiga, Sherry berkata: “Pada awalnya, saya agak kurang yakin untuk berlakon bersama mereka.
“Lama-kelamaan, kemesraan itu muncul dan kami dapat menjayakan drama tersebut dengan jayanya.”