Neelofa berasa teruja dan tidak menyangka namanya tercalon dalam anugerah yang yang di pengerusikan oleh keluarga diraja Monaco itu.
Pengacara dan usahawan hijab popular, Neelofa tercalon dalam kategori Entrepreneur di Influencer Awards 2019 Monaco yang bakal berlangsung di Monte Carlo di Monaco pada 5 dan 6 Oktober depan.
Neelofa ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia berasa teruja dan tidak menyangka namanya tercalon dalam anugerah yang di pengerusikan oleh keluarga diraja Monaco itu.
“Sejujurnya, saya tidak menyangka tercalon dalam anugerah ini. Selain dikelolakan oleh keluarga diraja dan diadakan di luar negara, majlis anugerah ini juga bakal dimeriahkan dengan calon-calon lain daripada negara-negara berbeza.
“Tentulah, kemenangan di sana bakal menjadi satu momentum yang besar kepada saya. Namun, itu bukan sasaran utama. Saya mahu ke sana kerana merasakan ia masa yang sesuai untuk berjumpa dengan individu-individu berpengaruh lain dan mengembangkan rangkaian saya,” katanya.
Dalam pada itu, Neelofa berharap agar penglibatannya sebagai calon dapat memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia yang lain.
“Peluang seperti ini bukan datang selalu, jadi saya sangat menghargainya.
“Saya juga berharap agar pencalonan ini dapat memberi inspirasi kepada orang Malaysia lain untuk bermimpi lebih besar dan mencari lebih banyak peluang,” katanya lagi.
Influencer Awards 2019 Monaco merupakan penganjuran kedua selepas diadakan dengan jayanya pada tahun lalu.
Anugerah ini direalisasikan oleh Pauline Ducruet iaitu anak sulung kepada Puteri Monaco, Puteri Stephanie dan beberapa individu lain seperti Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.
Influencer Awards 2018 Monaco diadakan pada 7 Oktober 2018 di Hotel Meridien Beach Plaza, Monte Carlo. Sebanyak 27 anugerah telah diserahkan pada majlis tersebut.
Antara pemenang pada majlis tersebut termasuklah blogger fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Lifestyle) dan jurumekap Kim Kardashian, Mario Dedivanovic (kategori Make-Up Artist influencer).