Pelakon dan usahawan, Fizo Omar belum bersedia untuk memperincikan tentang desas-desus kemelut rumah tangga apabila isterinya, Mawar Abdul Karim, 30, dilaporkan sudah mendapatkan khidmat peguam bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Kata Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 34, buat masa sekarang, adalah lebih baik untuk dirinya tidak berkata lebih lanjut tentang perihal tersebut.
“Buat masa sekarang, saya tidak mahu memberikan kenyataan lebih tentang perkara ini.
“Saya faham kerja wartawan namun saya rasa masa sekarang kurang sesuai untuk saya bercakap tentang hal rumah tangga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Ditanya tentang laporan kesahihan satu ruangan gosip akhbar tempatan yang mengatakan dia dan isteri menyambut Aidilfitri secara berasingan, jawab Fizo: “Sejujurnya, saya baru sahaja diberitahu tentang laporan tersebut dan lebih baik saya tidak mengeruhkan keadaan dengan memberikan kenyataan yang bukan-bukan.
“Insya-Allah, kalau dalam masa terdekat untuk menyelesaikan kemelut ini, saya akan mengadakan sidang akhbar.”
Mengulas berkenaan sama ada dia dan isteri masih tinggal sebumbung atau sebaliknya, ulas Fizo ringkas: “Saya minta maaf tidak boleh komen lanjut tentang itu. Insya-Allah doa yang baik-baik sahaja buat kami.”
Terdahulu, rumah tangga pasangan itu dikatakan berdepan masalah dan mula menjadi bualan apabila pelakon filem Isyarat Cinta itu dilihat meraikan Aidilfitri berasingan dengan isteri dan anak.
Fizo dilaporkan beraya di Kelantan sementelah Mawar dan anaknya pula meraikan lebaran di Pulau Pinang.
Mengikut perancangan, mereka sepatutnya meraikan Aidilfitri di Kota Bharu, Kelantan. Namun, Mawar dan anaknya dikatakan terpaksa pulang ke Pulau Pinang apabila bapa Mawar jatuh sakit.