Man Bai terkilan terhadap sistem pengurusan Istana Budaya yang disifatkannya sebagai pilih bulu dan kurang sistematik.
Penyanyi Man Bai meluahkan rasa terkilan terhadap sistem pengurusan penggung berprestij, Istana Budaya yang disifatkannya sebagai pilih bulu dan kurang sistematik.
Man Bai atau nama sebenarnya, Abdul Rahman bin Osman berkata, pihaknya sudah menghantar kertas kerja untuk mengadakan persembahan di situ pada Oktober 2018, namun pihak IB menolak permohonan itu dan memaklumkan kepadanya pada saat akhir.
"Saya rasa kecewa dengan sistem pengurusan Istana Budaya kerana menolak permohonan saya untuk mengadakan persembahan di situ.
"Pada saat akhir, mereka memaklumkan saya tidak boleh mengadakan konsert kerana slot sudah diberikan kepada Konsert Duo Lagenda: Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir," katanya.
Menurut pelantun lagu Kau Ilhamku itu, konsertnya yang berjudul 2V Man Bai + Rahim Maarof sepatutnya berlangsung pada 22 dan 23 Disember tahun lalu di Istana Budaya.
Walaubagaimanapun, Man Bai tidak mempunyai sebarang isu dengan Jamal atau M. Nasir tetapi tidak berpuas hati dengan sistem pengurusan Istana Budaya.
"Saya ingin tegaskan, saya tidak mempunyai masalah dengan kedua-dua penyanyi itu. Saya tahu mereke mempunyai nama besar.
"Apa yang saya kesalkan, sistem pengurusan Istana Budaya yang masih mempunyai sentimen pilih bulu dan di takuk lama.
"Saya tidak akan menjejakkan kaki atau melakukan persembahan di Istana Budaya selagi sistem pengurusandan ketua pengarahnya masih sama," tegas Man Bai.
Man Bai ditemui pada sidang akhbar Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Kuala Lumpur sebentar tadi.
Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada Datuk Mohamed Juhari Shaarani menemui kegagalan kerana beliau kini berada di luar negara.
Tiket-tiket berharga RM205 boleh didapati di laman web, www.ilassotickets.com atau hubungi talian 0321706333.