Nabil Ahmad pilih rezeki halal




Jika diminta untuk menamakan seorang pengacara lelaki yang disenangi dan mampu mengendalikan acara atau program hiburan dengan baik, nama Nabil Ahmad pasti akan menjadi sebutan.

Selain petah berbicara, Nabil turut menggunakan kelebihannya sebagai seorang pelawak untuk menyuntik elemen komedi dalam setiap tugasan.

Disebabkan hal itu, karier Nabil tidak hanya tertumpu pada pengacaraan program televisyen semata-mata, malah turut berkembang pada majlis-majlis tertutup di seluruh Malaysia.

Ironinya, biarpun nama Nabil sering dicadangkan untuk mengendalikan sebarang acara, namun lelaki berusia 36 tahun itu tetap selektif dengan tawaran yang diterima.

“Selektif di sini bukan bermaksud saya memilih pekerjaan yang bagus-bagus atau dibayar lumayan.

“Saya memilih undangan pengacaraan yang bersih, maknanya, apa yang saya terima sebagai bayaran diyakini bersih dan halal,” ujar Nabil ketika ditemui pada majlis pelancaran single solo pertamanya, Pening di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Nabil, pengalaman lalu telah banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati ketika menerima tawaran pekerjaan.

“Sebelum ini, saya pernah mengacarakan majlis di sebuah lokasi yang penuh dengan arak. Saya agak terkejut kerana tidak diberitahu oleh penganjur terlebih dahulu.

“Jadi, selepas insiden tersebut, saya berpesan kepada pengurus supaya lebih berhati-hati sewaktu menerima sebarang tawaran,” katanya.

Menurut Nabil, dia sememangnya begitu teliti soal rezeki, terutama selepas mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata.

“Selepas berkeluarga, setiap rezeki yang diterima akan menjadi darah daging isteri dan anak-anak.

“Saya tidak mahu anak-anak dibesarkan dengan duit yang tidak bersih sumbernya,” ujar pengacara program MeleTOP itu jujur.

Tular

Terlanjur bicara mengenai soal keluarga, nama isteri Nabil, Nazirah Ayub tiba-tiba menjadi sebutan netizen akibat ‘kecuaian’ Nabil menggunakan aplikasi Instagram secara langsung (Instagram Live) sewaktu di rumah.

Menerusi siaran langsung tersebut, Nabil sedang mempromosikan sebuah jenama pencuci mulut. Bagaimanapun, pelawak itu telah terlepas pandang akan kelibat isterinya yang sedang berjalan di belakang dalam keadaan berkemban menggunakan tuala sahaja.

“Saya bukan membuat siaran langsung dalam Instagram untuk suka-suka. Ketika itu, saya mempunyai komitmen untuk mempromosikan sebuah jenama pencuci mulut. Tidak sangka pula isteri saya melintas di belakang hanya dengan memakai tuala.

“Sejujurnya, saya tidak perasan dia berada di situ. Saya menyedari perkara tersebut selepas video rakaman siaran langsung berkenaan diambil oleh akaun Instagram lain untuk ditularkan,” katanya.

Menurut Nabil, isterinya agak berang dengan kejadian tersebut dan bimbang jika rakaman siaran langsung berkenaan ditonton oleh ramai orang.

“Dia agak marah juga apabila video berkenaan tersebar. Jadi, saya pun memadam rakaman siaran langsung serta merta,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Nabil tetap berasa terkilan apabila usahanya meminta video tersebut dipadamkan daripada akaun Instagram yang menyebarkannya gagal.

“Disebabkan kasihan dengan isteri, saya cuba menghubungi pemilik akaun tersebut dan memintanya memadamkan video berkenaan. Tetapi, lain pula yang dibalas. Kata pemilik akaun itu, video tersebut dimuat naik sekadar hiburan.

“Selepas menerima balasan sedemikian, saya enggan memanjangkan cerita dan membiarkannya begitu sahaja. Saya malas untuk bertekak dengan mereka yang menganggap perkara sebegitu sebagai hiburan,” ujar Nabil dalam nada tegas.

Menurut pelakon filem Bo-Peng itu, walaupun video berkenaan telah dipadamkan, namun dia kecewa dengan rakyat Malaysia yang menyokong akaun-akaun tular sedemikian.

“Mentaliti rakyat kita yang suka melihat aib artis menjadikan pemilik akaun sebegitu sangat teruja untuk berkongsi lebih banyak benda-benda kurang baik.

“Jika kita bersungguh-sungguh mengikuti akaun tersebut, sudah pasti dia tidak akan berhenti menyebarkan perkara yang tidak baik.

“Lebih menyedihkan, pemilik akaun berkenaan mengambil kesempatan ke atas jumlah pengikut yang ramai untuk membuat reviu produk berbayar,” tutur Nabil dalam nada kesal.

Nabil bagaimanapun sentiasa positif dan mengambil pengajaran daripada peristiwa lalu.

“Allah tidak menguji hambanya secara suka-suka. Saya yakin, Allah mahu saya lebih beringat dan sentiasa berhati-hati pada masa akan datang,” katanya sambil tersenyum.

Nyanyian

Beralih topik mengenai percubaannya dalam bidang nyanyian, Nabil memberitahu, segalanya tercetus selepas dia dan penyanyi Alif Satar berkolaborasi menerus lagu #BaikPunya.

“Selepas selesai merakamkan lagu #BaikPunya, komposernya, DJ Fuzz mencadangkan supaya saya merakamkan lagu.

“Disebabkan tidak sibuk, jadi saya pun bersetuju. Ketika berada di studio, kami berbual tentang masalah harian sehingga terkeluar perkataan pening. Oleh sebab itu, kami bersetuju menjadikan perkataan tersebut sebagai judul lagu,” katanya.

Tidak kisah jika dikecam, alasan Nabil, dia terjun ke bidang muzik kerana mahu mencuba perkara baharu.

“Saya masuk ke dalam bidang muzik bukan kerana mahu menjual suara. Sebaliknya, saya mahu mempersembahkan idea menerusi lagu bergenre hip hop,” katanya.


Post a Comment

Previous Post Next Post