Tidak meletakkan sebarang syarat tertentu bagi calon suami, Uqasha bagaimanapun mahukan seorang lelaki yang kuat pegangan agama, selain mampu menerima kekurangan dirinya.
BUKAN mengikut adat dan budaya orang Barat, sebaliknya tindakan itu dilakukan hanya sekadar suka-suka. Itu penjelasan pelakon Uqasha Senrose selepas dikritik gara-gara menyambut bunga yang dibaling oleh adiknya, Nelydia Senrose dalam majlis bridal shower (majlis meraikan bakal pengantin) baru-baru ini.
Menjelaskan situasi tersebut, Uqasha berkata, majlis dilakukan sekadar untuk suka-suka bersama rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat memandangkan hanya dia yang belum mempunyai pasangan.
Pada masa sama, Uqasha mengakui tidak tertekan hidup tanpa pasangan meskipun sudah menginjak usia 27 tahun, sementelah adiknya, Nelydia yang terlebih dahulu bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
Kata pemilik nama lengkap Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu, dia seboleh-bolehnya enggan mengejar cinta dan menyerahkan soal kepada Tuhan.
Ikuti penjelasan daripada pelakon berusia 27 tahun itu ketika ditemui pada majlis tayangan telefilem Saya Jual Ye Bang terbitan Astro First Eksklusif baru-baru ini.
KOSMO!: Baru-baru ini, Uqasha dilihat begitu teruja sewaktu menyambut jambangan bunga sempena majlis bridal shower Nelydia. Boleh anda terangkan mengenai situasi itu?
Uqasha: Saya berjaya sambut bunga cuma kebetulan sahaja, bukan perkara yang dirancang, sebaliknya hanya suka-suka. Bukan mahu ikut adat dan budaya orang Barat seperti yang diperkatakan sesetengah orang. Sebab dalam majlis itu, cuma saya yang tidak mempunyai pasangan. Jadi, kawan-kawan tolak saya supaya menyambut bunga itu. Biarpun bunga sudah dapat, tetapi calon belum ada. Saya masih dalam misi mencari yang sesuai.
Biarpun Nelydia yang akan berkahwin, tetapi tumpuan lebih terarah kepada anda. Boleh jelaskan?
Sebabnya saya kakak, Nelydia adik tetapi dia yang mahu kahwin terlebih dahulu. Jadi, itu satu perkara normal kalau orang bertanya. Biarpun melangkah bendul tetapi saya okey sahaja. Tidak timbul perasaan tertekan sebab saya percaya jodoh itu ada, mungkin lambat sahaja. Kalau kahwin cepat tetapi akhirnya orang itu bukanlah jodoh yang betul pun, untuk apa. Kenapa perlu memperjudikan masa depan dan hidup untuk orang yang salah. Pendirian saya mudah, biar lambat asal selamat. Saya gembira dengan apa yang saya ada sekarang.
Mungkin anda terlalu memilih atau meletakkan kriteria tertentu untuk jodoh nanti?
Saya tidak pandang soal itu sangat, asalkan ada perasaan melekat di dalam hati, orangnya baik dan boleh terima keburukan terutama kisah silam saya, itu sudah memadai.
Perkara paling penting juga, saya mahu kami sama-sama percaya diri boleh berubah ke arah lebih baik. Seteruk mana pun kisah hidup seseorang perempuan, lelaki tersebut mestilah boleh membimbingnya dan ada pegangan agama yang kuat.
Sejujurnya, saya takut kalau berbicara soal hidup berumah tangga sebab pengalaman rakan-rakan dan diri sendiri dengan kisah cinta lama membuatkan saya berjaga-jaga.
Jika dalam telefilem Saya Jual Ye Bang anda merupakan isteri kepada seorang pemilik bengkel, Amin lakonan Zizan Razak. Jadi, jika dalam dunia realiti jodoh anda bukanlah sesiapa, maksudnya bukan orang berada, apa komen anda?
Saya tidaklah kata mahu seorang jodoh dalam kalangan yang berpangkat atau berkedudukan. Selagi dia mampu memberi nafkah zahir yang cukup kepada saya dan bakal anak-anak, rasanya tiada masalah.
Dalam telefilem berkenaan, anda berlakon sebagai seorang pengacara program. Jadi boleh terangkan apakah cabarannya?
Dunia pengacaraan adalah perkara terakhir yang saya akan lalukan, sebab saya memang tiada bakat dalam bidang itu. Itulah cabaran paling besar saya sepanjang terlibat dalam telefilem ini berbanding dengan babak air mata.
Baiklah, boleh kongsikan perkembangan terkini anda?
Sekarang saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri untuk slot Mega Drama Astro Ria berjudul Setelah Terlafaznya Akad bersama pelakon Kamal Adli.
Dalam Saya Jual Ye Bang, badan saya agak berisi sebab saya mahu imej yang sesuai dengan watak selain membuat sedikit kelainan. Jadi untuk drama ini pula, saya kurangkan berat badan dengan mengamalkan diet tanpa makan nasi dan tidak ambil minuman bergula.