Konsert amal memperingati Whitney di Istana Budaya




Konsert tersebut merupakan inisiatif memperluas aktiviti mendidik kanak-kanak pintar dan berbakat dalam kalangan golongan kurang berkemampuan.

Sebuah Konsert Amal Diraja berjudul Remembering Whitney - The Greatest Love Of All bakal diadakan pada 22 Mac ini di Istana Budaya.

Menurut Yang Dipertua Badan Amal Kasih Sayang (Bakasa), Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah, 100 peratus daripada keuntungan konsert yang dianjurkan oleh Milestone Production Sdn. Bhd., itu akan disalurkan kepada Bakasa.

"Apa yang menarik, konsert ini akan menampilkan persembahan 90 minit penyanyi yang diterbangkan khas dari Las Vegas, Amerika Syarikat iaitu Trina Johnson Finn.

"Trina akan menyanyikan kira-kira 16 buah lagu yang dipopularkan penyanyi lagenda dunia, mendiang Whitney Houston," katanya.

Menurutnya lagi, konsert tersebut mensasarkan lebih RM700,000 kutipan dana bagi menampung kos keperluan Bakasa.

"Konsert ini juga adalah salah satu inisiatif untuk memperluas aktiviti mendidik kanak-kanak pintar dan berbakat dalam kalangan golongan kurang berkemampuan.

"Bakasa kini menguruskan Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan (Ruktaa) dan Pusat Inovasi Tengku Ampuan Afzan (Cintaa) yang terletak di Raub, Pahang.

"Justeru, kami berharap konsert ini akan mendapat sambutan sekali gus membantu golongan yang memerlukan terutama kanak-kanak," ujarnya lagi.

Pada acara berkenaan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar bakal mencemar duli bagi menyerikan majlis.

Tiket yang dijual bermula pada harga RM80 hingga RM480 boleh didapati di laman web, www.milestone-entertainment.com. -

Post a Comment

Previous Post Next Post