Menjawab tuduhan penyanyi Man Bai tentang sistem pengurusan Istana Budaya disifatkan sebagai memilih bulu dan kurang sistematik, Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani menjelaskan, permohonan penyanyi itu untuk mengadakan konsert tidak lengkap dan lewat.
Kata Mohamed Juhari atau mesra disapa sebagai Abang Jo itu, pihak Istana Budaya memang ada menerima borang dan kertas kerja daripada pihak Man Bai untuk mengadakan konsert Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof.
"Memang ada namun namun permohonan yang dibuat pada bulan Ogos 2018 tetapi tidak lengkap, berbanding pihak Jamal Abdillah dan M. Nasir yang telah hantar pada 2017 lagi.
"Kebiasaannya, untuk mengadakan persembahan pada tahun yang sama sudah dikira lewat kerana Istana Budaya menerima permohonan setahun awal dan seperti semua sedia maklum, kami sentiasa melancarkan program sepanjang tahun pada setiap awal tahun," katanya dalam satu pesanan mesej melalui WhatsApp.
Disebabkan itu, permohonan pihak Man Bai untuk mendapat slot telah pun diisi dengan program yang terlebih awal membuat permohonan.
"Walaubagaimanapun, Istana Budaya sentiasa membentangkan permohonan baru ke ahli jawatankuasa untuk menilai kertas kerja yang diterima.
"Namun tarikh yang dimohon oleh pihak Man Bai telah pun diisi dengan program yang terlebih awal membuat permohonan," ujarnya lagi.
Semalam, penyanyi lagu Kau Ilhamku itu meluahkan rasa terkilan apabila Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof dinafikan slot di Istana Budaya pada saat akhir.
Menurut Man Bai, slot konsertnya yang sepatutnya berlangsung pada 22 dan 23 Disember tahun lalu diberikan kepada konsert Duo Lagenda: Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir.
Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof bagaimanapun akan diteruskan dan bakal berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 6 April depan.
Tiket-tiket berharga RM205 boleh didapati di laman web, www.ilassotickets.com atau hubungi talian 0321706333.