Haqiem akui ada orang ingin jatuhkannya.
Penyanyi Haqiem Rusli tidak akan membuat laporan polis berkaitan foto inidvidu miripnya yang sedang tidur bersama seorang wanita tersebar di laman Twitter baru-baru ini.
Haqiem, 20, berkata, foto tersebut merupakan hasil suntingan pihak tidak bertanggungjawab.
"Apa yang saya boleh cakap ia hasil suntingan. Pada mulanya saya mahu buat laporan polis tapi ibu menasihatkan saya agar biarkan sahaja.
"Ibu nasihat saya kenapa nak takut kerana saya tidak bersalah dalam hal itu, lama-lama perkara ini akan lenyap.
Dalam pada itu, Haqiem berkata, dia tidak tahu siapa yang ingin menganiaya dan cuba menjatuhkan dirinya dengan menyebarkan fitnah itu.
Ismail Izzani, Nabila Razali dan Haqiem dilantik sebagai Skuad Galaxy A.
Kata penyanyi lagu Jatuh Bangun itu, dia bersyukur keluarga memahami situasi yang dilaluinya.
"Saya tidak tahu siapa yang buat dan kenapa ada yang mahu jatuhkan saya. Apa yang saya buat salah saya sentiasa minta maaf.
"Saya dalam industri ini nak hiburankan orang sahaja," ujarnya.
Haqiem ditemui pada majlis pelancaran telefon pintar Samsung Galaxy A yang turut mengumumkan dia bersama Nabila Razali dan Ismail Izzani sebagai skuad GalaxyA.
Bercakap tentang pelantikan dirinya sebagai salah seorang jurucakap produk tersebut, Haqiem berkata, dia akan lebih menjaga imej dan menjauhi sebarang kontroversi.
"Alhamdulillah, ini merupakan produk pertama yang memberi kepercayaan kepada saya sebagai duta. InsyaAllah tahun ini saya mahu bersih dari sebarang kontroversi seperti sebelum ini," ujarnya.