Muaz puji kekuatan isterinya melahirkan anak kedua mereka.
Pengacara dan penyampai radio Kool FM, Muaz Mohamed berkongsi pengalaman ketika menemani isterinya melahirkan cahaya mata kedua mereka pada 19 Februari lalu.
Muaz atau nama sebenarnya Muazanazzudin Mohamed, 35, berkata dia berada di dalam bilik bersalin bersama isteri, Ediana Aziz selama 36 jam merupakan pengalaman baharu baginya.
"Alhamdulillah ia merupakan satu pengalaman yang baru kena tunggu selama 36 jam. Penuh cabaran sebab bayi tak nak keluar.
"Sepanjang tu, saya dapat bersama isteri dan sesaat pun tak berpisah. Duduk teman dia dan tengok dari mula sakit sehingga bayi kami lahir.
Bayi kedua Muaz yang diberi nama Ezra Mikhail.
"Kalau anak pertama hanya tunggu 24 jam tapi adik dia lama sikit. Tapi semuanya berjalan dengan lancar dan tak ada masalah," katanya kepada mStar Online.
Muaz dan isteri menyambut kelahiran anak lelaki kedua mereka yang diberi nama Ezra Mikhail dengan berat 3.63 kilogram.
Dalam pada itu, Muaz mengakui cabaran menjaga dua orang cahaya mata agak berlainan memandangkan anak sulungnya mula timbul perasaan cemburu.
Bagaimanapun, Muaz tetap akan memberikan perhatian sepenuhnya dan sama rata kepada kedua-dua anak lelakinya.
Muaz memberitahu anak sulungnya sudah mula ada rasa cemburu terhadap adik.
"Cabaran lain macam sikit. Abang mula-mula okey tapi sekarang ini dia dah tunjuk simptom abang sulung. Dah ada perasaan cemburu terhadap adik dia.
"Benda kecil pun diperbesarkan. Saya faham sebab dia dah lima tahun tak ada adik. Tiba-tiba ada orang baru dan semua perhatian pada adik dia pula.
"Walaupun sebenarnya kita beri perhatian sama rata sahaja. Cumanya, kalau adik menangis, kita pujuk dulu. Mungkin abang terasa tersisir," ujarnya.
Muaz dah Ediana berkahwin yang pada Februari 2013 juga memiliki seorang anak lelaki bernama Emirza Mukhri yang kini berusia lima tahun.