Siti Saleha masih mood bulan madu




“Saya dan suami masih dalam suasana berbulan madu lagi selepas lebih setahun berkahwin.

“Rumah tangga juga bahagia dan kami tidak kisah dikurniakan anak cepat atau lambat kerana semuanya bergantung pada rezeki daripada Allah SWT,” kata pelakon popular Siti Saleha Mohd Baharum, 29, ketika mengulas rumah tangganya dan suami yang belum dikurniakan cahaya mata ketika ini.

Pelakon yang menempa nama daripada drama bersiri 7 Hari Mencintaiku itu berkata, dia dan suami juga tidak berasa tekanan setiap kali ditanya soal anak.

“Maklumlah, rumah tangga adik dan abang saya sudah pun dikurniakan cahaya mata ketika ini.

“Jika nak diikutkan saya dan suami juga sudah sedia untuk dapat anak sekali gus melengkapkan lagi kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

“Namun, nampaknya masih belum ada rezeki lagi dan kami juga berharap peminat turut sama mendoakan yang baik buat kami,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai watak pula, kata Saleha, dia juga menolak watak hitam dan antagonis selepas berkahwin.

“Banyak pengarah menawarkan watak hitam seperti wanita yang lemah tapi saya terpaksa menolaknya kerana menghormati permintaan suami.

“Suami mahukan saya melakonkan watak wanita yang kuat dan berdikari sekali gus mampu memberi inspirasi pada orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, dia mahu fokus pada karier seni yang diceburi.

“Selagi belum dikurniakan anak inilah saya boleh melancong bersama suami ke luar negara sekali gus mengeratkan hubungan suami isteri.

“Bila sudah ada anak nanti, saya akan memperlahankan aktiviti seni untuk memberi fokus pada anak dan rumah tangga pula,” katanya.

Siti Saleha berkahwin dengan suaminya, Ahmad Lutfi Azhar, 33, dalam majlis yang berlangsung di TPC Bukit Kiara pada 28 Julai 2017.

Post a Comment

Previous Post Next Post