Filem Upin & Ipin dalam tiga bahasa




"Pihak Walt Disney Asia Tenggara turut mengirimkan ucapan tahniah secara peribadi kepada kami," kata penerbit filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Burhanuddin Md Radzi.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd turut mendedahkan filem terbaru karektor Upin & Ipin yang menelan belanja hampir RM20 juta itu juga dalam proses untuk ditayangkan di China dan Taiwan.

"Wakil kami di sana masih dalam proses perbincangan dan setakat ini sudah 70 peratus persetujuan.

"Dalam pada itu filem ini juga akan menjengah pasaran Taiwan, Jepun dan Vietnam selain di pawagam seluruh Indonesia," katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem itu di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, untuk tujuan itu, pengalihan bahasa daripada Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin sudah pun dilakukan.

Burhanuddin berkata, pencapaian itu susulan pendirian awal pihak produksi yang mahu meletak penanda aras tinggi filem animasi terbitan tempatan.

Katanya, ketika syarikatnya mengambil keputusan untuk menerbitkan filem Upin & Ipin, mereka akur perlu menambah baik dari segi teknikal filem supaya setanding dengan animasi luar negara terutama daripada Hollywood.

"Sebab itulah ia mengambil masa selama lima tahun dengan kepakaran beratus anak tempatan yang membabitkan penyelidikan dan suntingan sehingga menelan belanja RM20 juta.

"Banyak babak dalam filem ini terpaksa disunting beberapa kali supaya ia mencapai standard teknikal filem animasi luar negara," katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang turut hadir pada acara sama, menyifatkan karektor dua beradik kembar itu boleh menjadi ejen kesusasteraan Melayu.

"Saya tidak sangka banyak elemen kisah Melayu yang ada dalam Sulalatus Salatin disuntik ke dalam filem ini.

"Filem ini sudah berada di tahap lain dan boleh ke peringkat Hollywood, seolah bukan 'standard' Malaysia," katanya.

Beliau turut mencadangkan karektor Upin dan Ipin diangkat sebagai duta kasih sayang yang jelas memaparkan perasaan kasih sayang dan keharmonian rakyat Malaysia.

Katanya, elemen saling menghormati dan sayang-menyayangi antara pelbagai kaum di negara ini wujud dalam karakter animasi itu sekali gus berperanan penting mempromosikan budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

Filem itu turut dibarisi artis tempatan dan luar negara yang 'meminjamkan' suara antaranya Ernie Zakri, Fakhrul Razi, Asyiela Putri Azhar, Ahmad Mawardi dan Amir Asyraf ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 Mac ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post