Bala; mengadakan konsert reunion pada tahun ini, penyanyi Bob Yusof, percaya jenama Akademi Fantasia musim kedua (AF2) masih relevan dan kuat untuk diketengahkan.
Bob berkata, perkara itu sudah lama diusahakan namun tidak dapat dilaksanakan kerana bekas pelajar AF2 mempunyai komitmen masing-masing.
"Kali pertama saya usulkan perkara ini adalah pada 2014 bersempena 10 tahun dalam industri. Tapi tidak dapat dilaksana. Kemudian, pada 2016 saya cakap lagi tapi sama juga.
"Akhirnya, impian saya tercapai pada tahun ini apabila semua rakan AF2 memberikan persetujuan dan komitmen bagi menjayakan konsert reunion ini nanti," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Walaupun masih mencari tempat dan dalam proses untuk menetapkan tarikh konsert, Bob positif acara itu akan mendapat sambutan daripada peminat yang selama ini menantikan kemunculan semula mereka.
"Insya-Allah, konsert ini bakal berlangsung pada Ogos nanti bersempena genap 15 tahun kami dalam industri. Cuma tempat dan tarikh belum pasti. Apapun, nanti saya akan umumkan.
"Konsert reunion ini adalah atas hasil usaha kami sendiri. Saya bersyukur kerana kesemua bekas pelajar AF2 dapat memberikan komitmen dan bersetuju untuk membuat persembahan.
"Konsert ini bukan sekadar untuk berhibur tetapi juga ada peratusan daripada hasil jualan tiket akan disalurkan kepada tiga badan kebajikan," katanya.
Pada sidang media itu, bekas pelajar AF2 iaitu Zahid, Linda Nanuwil, Adam, Anding dan Fitri turut hadir.
AF2 adalah sebuah program realiti ditayangkan pada 2004 yang menampilkan 12 peserta.
Peserta lain yang turut berada di pentas AF2 adalah Zarina Zainoordin, Edlin, Nurul, Mas, Kaer dan Farah.