Difitnah bekas pemandu, Che Ta mahu saman




Che Ta membuat keputusan untuk menyaman bekas pemandu selepas didakwa dimalukan lelaki itu dalam laman sosial.

Minggu lalu, suhu dunia hiburan kembali menggelegak apabila bekas pemandu peribadi Rozita Che Wan menuduh pelakon itu enggan membayar gajinya sebanyak RM2,000.

Menerusi status Facebook yang dimuat naik, lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Riduan itu meluahkan perasaan sedih kerana penat lelahnya bekerja untuk Rozita atau Che Ta tidak diberi ganjaran.

Tidak berapa lama selepas status tersebut dimuat naik, Che Ta menerusi akaun Instagramnya membuat kenyataan balas dan menceritakan perangai sebenar bekas pekerjanya.

Pelakon yang popular dengan drama Kak Marr itu mendedahkan, Riduan tidak melakukan kerja dengan baik dan pernah tertidur ketika sedang memandu kereta.

Isteri kepada pelakon Zain Saidin itu turut menempelak bekas pekerjanya supaya tidak menyalahkan orang tanpa menyelidiki kesalahan sendiri terlebih dahulu.

Menurut Che Ta yang telah pun membayar gaji lelaki itu sehari selepas isu tersebut tular, dia mahu mengambil tindakan undang-undang dan menyaman malu bekas pemandunya kerana menularkan cerita yang tidak benar. Selain itu, Che Ta juga menuntut Riduan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Che Ta, benarkah anda masih tidak membayar gaji bekas pemandu peribadi seperti yang tular dalam laman sosial?

CHE TA: Bayar tetap bayar. Gaji dia sudah dibayar penuh berjumlah RM2,000. Tetapi, apa yang Riduan ceritakan adalah tidak benar dan fitnah semata-mata. Jadi, kami akan mengambil tindakan tegas.

Adakah anda akan mengambil tindakan undang-undang terhadap apa yang telah berlaku?

Ya, kami sudah berhubung dengan peguam untuk tindakan susulan. Kami juga mahu mengeluarkan saman malu terhadap Riduan dan memintanya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Mengapa bekas pemandu anda tidak menerima gaji pada tarikh yang sepatutnya?

Dia bekerja dengan saya hanya untuk dua bulan. Gajinya pada bulan pertama dibayar seperti biasa. Cuma untuk bulan Februari, saya terlambat bayar kerana tidak masuk ke pejabat bagi menguruskan hal kerja termasuk pembayaran gaji. Kebiasaannya, saya akan bayar gaji setiap hujung bulan atau selewat-lewatnya sebelum masuk tarikh ketujuh bulan seterusnya. Saya baru berkesempatan untuk mengeluarkan cek pada 6 Mac. Tetapi, dia menyebarkan cerita yang tidak benar.

Bagaimanakah pula dengan prestasi kerjanya sepanjang berkhidmat dengan anda?

Menerusi status Facebooknya, Riduan mendakwa waktu kerjanya bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam dan mengadu letih. Namun, kenapa tidak memberitahu yang dia sentiasa tidur pada waktu itu? Saya pernah memberitahunya supaya tidak tidur di sofa pejabat, tetapi, dia beralih pula ke dalam surau. Sebelah malam pula sanggup membuat kerja lebih masa dengan menjadi pemandu Grab sampai lewat pagi.

Saya tidak melarang dia melakukan kerja lain, tetapi etika kerja hakiki perlu dijaga. Saya pejamkan mata dengan kesalahan dan masalah yang ditimbulkan. Nampak gayanya, dia cuba menguji tahap kesabaran diri saya.

Bagaimanakah pula dengan dakwaannya yang mengatakan gajinya dipotong?

Ketika ditemu bual untuk jawatan pemandu, dia sendiri rela tidak dibayar jika khidmatnya tidak memuaskan. Sepanjang bekerja, dia banyak melakukan kesilapan dan saya buat tidak tahu. Antaranya, dia pernah terlelap ketika memandu sehingga saya memintanya berhenti untuk membasuh muka. Dia harus fikir, sikapnya mampu membahayakan orang lain.

Adakah dia pernah bersikap biadab terhadap anda?

Secara peribadi, dia seorang yang baik. Mungkin usianya masih muda dan belum matang. Saya dan suami berpendapat, dia dihasut oleh orang sekeliling untuk menulis dan menularkan cerita yang tidak benar tentang kami. Mengenalinya, dia tidak akan menulis sebegitu.

Post a Comment

Previous Post Next Post