Percaturan baharu Shah Iskandar




Sejak Instagram diperkenalkan sekitar sembilan tahun lalu, landskap dunia hiburan, khususnya dalam kalangan selebriti dilihat berubah secara total.

Hal ini kerana, selain mudah untuk dikelolakan, Instagram juga dijadikan sebagai portfolio buat anak seni untuk ‘menjual’ status relevan mereka berdasarkan jumlah pengikut yang ada.

Dalam erti kata mudah, jika seseorang artis itu mempunyai jutaan pengikut, potensi untuk menerima tawaran lakonan juga menjadi lebih besar.

Fenomena digital tersebut dipersetujui sendiri oleh pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar. Menurut dramatis yang mula popular dengan drama Nora Elena itu, pelakon pada zaman sekarang perlu bijak menggunakan teknologi yang ada untuk terus mengekalkan nama dalam industri.

“Saya harus akui, platform media sosial semakin dipandang tinggi oleh ramai orang. Tidak sekadar platform komunikasi bersama peminat, media sosial seperti Instagram juga dilihat cukup berkesan sebagai medium untuk mempromosikan bakat.

“Mahu atau tidak, seseorang pelakon atau artis itu perlu menggunakan media sosial untuk mengekalkan hubungan mereka dengan peminat. Jika tidak, mereka pasti akan ketinggalan,” katanya.

Semasa

Menurut Shah, pada usia 37 tahun, dia tidak kerap memuat naik gambar atau berkongsi perkembangan terbaharu dengan pengikut dalam laman sosial.

Namun, melihat Instagram sebagai satu keperluan bagi setiap pelakon pada masa kini, pemilik nama sebenar Shah Iskandar Mahfuz itu sanggup mendalami aplikasi tersebut dan mempelajari perkara-perkara baharu.

“Baik saya atau pun pelakon lain, kita perlu sentiasa berfikiran ke depan dan berubah mengikut masa.

“Jika mahu kekal relevan, pelakon harus mengikuti perkembangan semasa,” ujar Shah lagi.

Biarpun percaya dengan kuasa dan impak yang diberikan terhadap kerelevanan artis, namun, Shah turut mengakui nilai eksklusif untuk sesetengah berita menjadi semakin terhakis dengan adanya media sosial.

“Melihat pada cara rakan media bekerja dahulu, kisah tentang kehebatan seseorang artis hanya dapat diketahui apabila cerita tersebut diterbitkan dalam akhbar. Namun, sejak adanya Instagram, nilai eksklusif tersebut sudah tidak ada lagi.

“Selebriti menjadi penyiar utama kisah mereka dan peminat akan mendapatkannya terus daripada Instagram,” terangnya.

Namun, Shah masih mempercayai pengaruh yang mampu dicetuskan oleh pihak media walaupun banyak platform media sosial yang wujud sejak kebelakangan ini.

“Tinggi mana pun artis mengangkat diri dalam media sosial, mereka masih memerlukan sokongan pihak media arus perdana,” ujarnya

Rezeki

Berbicara lanjut mengenai status relevannya, Shah bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk terus berkarya dan mencari rezeki dalam industri hiburan Malaysia

“Alhamdulillah, saya masih lagi diterima di sini. Walaupun saya meletakkan diri di tengah-tengah antara pelakon berjaya dan yang belum sampai ke puncak, saya masih diberi kepercayaan untuk bekerja di sini.

“Memang kadang-kadang terasa penat. Tetapi, saya mahu buktikan kemampuan diri kepada khalayak. Mungkin kebanyakan pelakon dikira berjaya berdasarkan bilangan anugerah atau kekayaannya.

“Sebaliknya, saya mahu dikenali sebagai pelakon yang mampu menyentuh jiwa penonton,” tutur Shah yang masih lagi diberi watak-watak pelajar kolej pada usianya sekarang.

Tambah Shah lagi, dia berharap agar pelakon-pelakon senior di sini lebih dihargai dan diberi peluang setara dengan pelakon muda, seperti yang diamalkan Hollywood.

“Lihat saja Robert Downey Jr. Walaupun dia sudah berusia, namun, dia berjaya mencipta aura yang tersendiri menerusi watak Tony Stark dalam siri filem Iron Man.

“Saya berharap agar industri lakonan kita dapat mencontohi industri Hollywood,” katanya lagi.

Selesa

Dalam perkembangan terbaharu, telenovela lakonan Shah, Jodoh-Jodoh Annisa kini sedang ditayangkan di saluran Astro Prima sejak 19 Februari lalu. Membawakan watak Syafiq, Jodoh-Jodoh Annisa merupakan telenovela kedua lakonan Shah selepas menjayakan Dendam Aurora.

Tidak mahu dikenali sebagai pelakon yang sering menjayakan telenovela, Shah berkata, dia turut menerima tawaran daripada stesen televisyen lain untuk mempelbagaikan portfolio lakonannya.

“Mungkin sudah kebetulan saya berlakon dua telenovela dalam jarak masa yang dekat. Bagaimanapun, saya tetap terbuka dengan tawaran daripada produksi drama bersiri dan telefilem lain.

“Cuma, mungkin disebabkan jadual, saya terpaksa menolak tawaran lain dan menjayakan siri telenovela,” katanya.

Menurut Shah, telenovela Jodoh-Jodoh Annisa sedikit berbeza jika dibandingkan dengan naskhah yang pernah dibintanginya,

“Saya perlu bekerja dengan lebih 40 orang pelakon untuk telenovela ini. Jadi, saya gunakan peluang yang ada untuk belajar dengan pelakon-pelakon lain bagi memantapkan gaya lakonan sendiri,” terangnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post