Aidil Aziz jemput 5,000 tetamu untuk majlis di Rembau




Pelakon Aidil Aziz menjemput seramai 5,000 tetamu termasuk kaum keluarga, rakan-rakan serta wakil media bagi meraikan majlis resepsi perkahwinannya bersama Fasha Sandha.

Aidil, 32, memberitahu persiapan majlis resepsi belah pengantin lelaki yang akan diadakan pada 6 April nanti di kampung halamannya di Rembau, Negeri Sembilan sudah pun siap sebanyak lebih 50 peratus.

“Keluarga saya memang ramai, jadi inilah masa yang sesuai untuk jemput semua. Biarpun saya tahu jumlah itu sangat besar dan bukannya mudah untuk uruskan sebuah majlis besar.

“Tetapi saya harap semuanya dipermudahkan. Sebab itulah saya sudah buat persiapan lebih awal agar semuanya berjalan lancar,” ujarnya yang akan mengadakan resepsi dengan tema tradisional.

Aidil dan Fasha, 35, ditemui pada sesi uji bakat Siri Jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 di Sri Pentas, Bandar Utama di sini sebentar tadi.

Bagaimanapun, pasangan itu masih belum mendedahkan tarikh sebenar majlis pernikahan dan resepsi belah pengantin perempuan yang dijangka diadakan di kampung halaman Fasha di Perlis pada penghujung Mac ini.

Sementara itu, Fasha ketika diminta mengulas mengenai perkara itu menjelaskan, kesibukan kerja membuatkan dia tidak sempat menyelesaikan banyak perkara untuk majlis tersebut.

“Perancang perkahwinan memang ada tetapi untuk saya buat tempahan terutama makanan mengambil sedikit masa kerana saya seorang yang sangat cerewet. Saya mahukan makanan yang dihidang nanti sempurna dan sedap untuk tetamu.

“Ironinya ramai orang tidak ambil berat tentang hal ini tetapi makananlah yang menjadi elemen utama dalam sesebuah majlis,” katanya.

Terdahulu, Fasha dan Aidil mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis tertutup pada 18 November tahun lalu.

Fasha sebelum ini pernah berkahwin dengan usahawan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012, namun bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Putra Rayfal Ramli, 5, dan Putri Raysha Jemaima, 4. -

Post a Comment

Previous Post Next Post